LIVERPOOL: Jurgen Klopp menegaskan Liverpool belum berputus asa untuk mengejar Manchester City di puncak Liga Perdana Inggeris selepas skuad kendaliannya menewaskan Brentford 3-0.
Fabinho, Alex Oxlade-Chamberlain dan Takumi Minamino menemui sasaran untuk kemenangan Liverpool yang turun tanpa Mohamed Salah dan Sadio Mane kerana dua tonggaknya itu mewakili negara masing-masing di Piala Negara-Negara Afrika.
Liverpool kini menghuni tangga kedua, 11 mata di belakang pendahulu Liga Perdana Inggeris itu, tetapi bermain kurang satu perlawanan berbanding City.
"Kami tidak perlu meyakinkan sesiapa (di luar kelab). Mereka yang bersama kami, mereka mahu menikmati perjalanan ini.
"Ini bukan situasi untuk membincangkan persaingan kejuaraan, 11 mata dengan satu perlawanan di tangan. Dalam dunia normal (City akan menang), tetapi mana ada yang normal sekarang," kata Klopp.
Liverpool gagal memanfaatkan kelebihan pemain ketika aksi separuh akhir pertama Piala Liga Khamis lalu, seri tanpa jaringan menentang Arsenal, dan menimbulkan persoalan tentang kemampuan mereka menangani ketiadaan Salah dan Mane sepanjang bulan ini.
Brentford masih selesa dengan kelebihan 10 mata di atas zon penyingkiran dalam musim pertama mereka di liga tertinggi Inggeris sejak 74 tahun lalu. - AFP