Khamis, 13 Januari 2022 | 5:57pm
Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kiri) berucap di hadapan peserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan penghulu kampung pada Seminar Bemban Maju Jaya di Kompleks Japerun Bemban, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (kiri) berucap di hadapan peserta yang terdiri daripada wakil-wakil agensi kerajaan dan penghulu kampung pada Seminar Bemban Maju Jaya di Kompleks Japerun Bemban, Melaka. NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Isu tunggakan gaji pemain, tunggu Kongres MUSA - Sulaiman

JASIN: Ketua Menteri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Sulaiman Md Ali, berkata segala permasalahan berbangkit berkaitan persatuan bola sepak itu, termasuk isu tunggakan gaji kepada pemain, akan dibentangkan pada Kongres MUSA, Ahad ini.

Katanya, setakat ini beliau belum boleh membuat sebarang kenyataan rasmi berkaitan isu terbabit sehingga mendapat laporan lengkap pada kongres itu nanti.

"Tunggu kongres MUSA Ahad ini. Selepas itu saya akan buat kenyataan rasmi mengenainya," katanya selepas merasmikan Seminar Bemban Maju Jaya di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Ketua polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali dan Penyelaras DUN Bemban, Datuk Hasan Abd Rahman.

Semalam, Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur MUSA supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Hang Tuah itu.

Teguran itu dibuat Tunku Ismail yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi mesej yang dihantar kepada Sulaiman.

Mesej berkenaan turut dibalas Sulaiman dengan mengatakan beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

Teguran Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu susulan beberapa pemain Melaka United yang dilaporkan memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan sejak Oktober lalu.

Berita Harian X