Rabu, 12 Januari 2022 | 2:56pm
Hamidin (tengah) bersama ahli jawatankuasa Eksekutif FAM.
Hamidin (tengah) bersama ahli jawatankuasa Eksekutif FAM.

Pasukan Hamidin gagal - Redzuan

KUALA LUMPUR: Sekalipun penyokong bola sepak tempatan mendesak Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berundur, bekas timbalan presiden badan induk itu, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad pula berpandangan sebaliknya.

Ridzuan melihat Hamidin masih boleh kekal 'mendiami' kerusi nombor satu badan induk itu, namun itu tidak bermakna beliau tidak perlu bertanggungjawab di atas kegagalan skuad kebangsaan di pentas Piala AFF 2020.

Ridzuan menjelaskan, prestasi buruk skuad negara di Singapura itu memberi petanda 'pasukan' di FAM yang diketuai Hamidin selaku 'kepala' gagal teruk sekali gus dia tidak boleh duduk diam untuk merencana perubahan demi memandang ke depan.

"Pasukan Hamidin gagal. Maknanya Hamidin seharusnya berfikir untuk merombak semula pasukannya dengan memilih individu yang lebih efektif, bukan orang daripada Jawatankuasa FAM yang sesetengah daripadanya tidak pernah bermain bola sepak.

Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad.
Bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh Ahmad.

"Beri peluang kepada orang yang faham dan berpengalaman dengan bola sepak dalam pengurusan skuad kebangsaan. Mahu tidak mahu, dia (Hamidin) perlu ambil tanggungjawab sebagai presiden dan terima hakikat pasukannya gagal.

"Buat masa ini, tidak timbul (Hamidin letak jawatan). Mungkin kita boleh beri peluang untuk dua tahun lagi. Dia tetapkan sasaran dan dia perlu cari jalan untuk mencapai sasaran yang dia sendiri letakkan.

"Kalau gagal lagi, dia perlu ambil tanggungjawab tetapi apapun, sebarang keputusan tetap terpulang di tangannya (letak jawatan ataupun tidak)," katanya kepada BH Sukan.

Terdahulu, Hamidin masih dianggap relevan untuk terus memimpin badan induk berkenaan walaupun terdapat desakan daripada peminat supaya beliau melepaskan jawatan di kerusi nombor satu itu.

Desakan itu muncul selepas kegagalan skuad kebangsaan mencapai sasaran ke final Piala AFF 2020 di Singapura, bulan lalu yang turut menyaksikan Tan Cheng Hoe membuat keputusan drastik meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Namun, Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA), Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bersuara bagi mewakili ahli gabungan FAM yang lain menganggap kegagalan Harimau Malaya di Piala AFF 2020 tidak wajar dijadikan alasan untuk mendesak Hamidin meletak jawatan.

Sebaliknya, beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah meminta semua pihak meneliti serta menilai semula apa yang sudah dilakukan Hamidin selepas mula dipilih sebagai Presiden FAM pada 14 Julai 2018.

Berita Harian X