Rabu, 12 Januari 2022 | 12:09pm
Mesej dihantar TMJ berkaitan isu pembayaran gaji pemain Melaka United.
Mesej dihantar TMJ berkaitan isu pembayaran gaji pemain Melaka United.

TMJ tegur Melaka United tak bayar gaji

KUALA LUMPUR: Pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegur Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) supaya segera menyelesaikan isu tunggakan gaji membabitkan skuad Hang Tuah.

Teguran itu dipercayai dibuat Tunku Ismail yang juga Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi mesej yang dihantar kepada Presiden MUSA, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

"Datuk, pasukan Melaka tidak bayar gaji pemain sudah tiga bulan. Tak bagus untuk imej integriti pasukan Melaka dan juga kebajikan pemain.

"Tolong selesaikan isu ini Datuk," tulis Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) dalam mesej berkenaan dengan tangkap layar perbualan itu turut dikongsikan beliau di laman media sosial miliknya.

Mesej berkenaan turut dibalas Sulaiman dengan mengatakan beliau akan berusaha menyelesaikan perkara itu sebaik mungkin.

Bagaimanapun ciapan TMJ di laman Twitter itu seakan sudah dipadam.

Semalam, beberapa pemain Melaka United dilaporkan memohon pasukan itu menyelesaikan masalah tunggakan gaji selama tiga bulan membabitkan musim lalu.

Ia bukan kali pertama skuad Hang Tuah dibelenggu masalah berkenaan dengan mereka pernah dikenakan hukuman pemotongan tiga mata oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada musim lalu atas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan.

Berita Harian X