Selasa, 11 Januari 2022 | 4:48pm
PFAM sahkan gaji pemain Melaka United tertunggak tiga bulan.
PFAM sahkan gaji pemain Melaka United tertunggak tiga bulan.

Gaji pemain Melaka tertunggak tiga bulan

KUALA LUMPUR: Melaka United terus terpalit dengan isu tunggakan gaji dan bukan setakat membabitkan skuad utama, tetapi ia turut menular ke skuad Piala Presiden.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) menerusi satu kenyataan yang turut menzahirkan solidariti kepada pemain pasukan terbabit.

"Bagi makluman, tunggakan skuad utama adalah sebanyak tiga bulan dan tunggakan bagi skuad Piala Presiden adalah sebanyak dua bulan setengah.

"PFAM sudah menghantar notis tuntutan kepada pengurusan Melaka United dan menggesa agar tunggakan dilunaskan selewat-lewatnya pada 19 Januari 2022.

"PFAM ingin mengingatkan agar pasukan mengambil serius berkenaan isu pembayaran gaji memandangkan ini bukan kali pertama membabitkan pasukan Melaka United.

"Pemain sudah memberikan kerjasama dan memahami kekangan pasukan dengan memberikan tempoh yang sewajarnya. Semoga isu ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera," kata PFAM.

Sementara itu, Melaka United dalam satu kenyataan menjelaskan pasukan ini sedang dalam proses akhir penstrukturan semula dari segi pentadbiran dan kewangan.

"Pihak pengurusan memberi jaminan untuk menyelesaikan semua tunggakan dalam masa terdekat bagi memastikan perancangan bagi tahun 2022 berjalan lancar.

"Pihak pengurusan menghargai kesabaran dan kerjasama daripada pemain dan pegawai," katanya.

Berita Harian X