Isnin, 10 Januari 2022 | 8:08pm
Gambar fail - Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, hujung tahun lalu. Vietnam menang 3-0. - Foto ihsan Facebook FAM.
Gambar fail - Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, hujung tahun lalu. Vietnam menang 3-0. - Foto ihsan Facebook FAM.

Belum layak dipuji, dibanggakan

KUALA LUMPUR: Bekas pemain kebangsaan, Azlan Johar menyifatkan pemain yang memperkuatkan skuad Harimau Malaya ketika ini masih belum boleh dipuji atau dibanggakan bagi kejohanan peringkat antarabangsa.

Ia selepas beberapa siri prestasi mengecewakan yang dipamerkan skuad Harimau Malaya terutama selepas kegagalan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Justeru, bekas penolong jurulatih T-Team itu menjelaskan aspek kualiti atau tahap pemain negara menjadi perkara paling utama yang perlu diperbaiki sekiranya mahu melihat skuad Harimau Malaya berjaya di pentas antarabangsa.

"Kadang-kadang kalau kita lawan pasukan A kita kena guna taktikal lain dan lawan pasukan B pula perlu pakai taktikal lain. Tapi, kadang-kadang pemain yang kita ada juga tidak membantu jurulatih dari segi menyiapkan taktikal.

"Sekarang ini pemain kita masih belum boleh kita puji di peringkat antarabangsa. Letak mana-mana jurulatih sekali pun, kalau kita tak ada pemain yang boleh dipuji di peringkat antarabangsa, susah untuk jurulatih mencapai KPI (petunjuk indeks prestasi).

"Pertama sekali, perkara ini perlu kita tekankan yang mana pemain kita perlu lebih baik. Mereka sekurang-kurangnya mesti gred A untuk peringkat AFF.

"Saya tak cakap mereka tak bagus, saya cakap mereka tidak boleh lagi kita banggakan untuk aksi di peringkat antarabangsa," katanya kepada BH Sukan.

Kegagalan di pentas Piala Suzuki AFF 2020 sebelum ini menyaksikan skuad Harimau Malaya dikecam hebat hingga membawa kepada peletakan jawatan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe.

Malah, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ketika ini juga sedang mencari punca kegagalan serta berkira-kira untuk mendapatkan jurulatih baharu bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Cheng Hoe.

Selain itu, Azlan juga mendakwa ada pemain yang tidak 'jujur' atau tidak mempamerkan prestasi sebenar apabila beraksi bersama skuad kebangsaan.

"Pemain kita tak jujur, kalau tak nak main datang jumpa jurulatih cakap tak nak main. Sekarang, kalau panggil tapi bila main tak nak bagi komitmen, kasihan jurulatih. Itu pandangan saya dan apa yang saya nampak dalam setiap perlawanan.

"Sepatutnya lari 50 meter, tapi mereka lari 40 meter saja. Walaupun tak banyak beza, hanya 10 meter, tapi benda itu memberi yang amat besar kepada pasukan," katanya.

Berita Harian X