Jumaat, 7 Januari 2022 | 3:05pm
Hamidin umumkan FAM tubuh badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya susulan kegagalan di Piala AFF, bulan lalu.
Hamidin umumkan FAM tubuh badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya susulan kegagalan di Piala AFF, bulan lalu.

FAM tubuh badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menubuhkan badan siasatan bebas pasukan Harimau Malaya yang dianggotai individu dari luar badan induk itu bagi mengetuai bedah siasat laporan prestasi skuad kebangsaan di Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, bulan lalu.

Perkembangan itu dimaklumkan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan hari ini dengan menjelaskan bekas pemain kebangsaan merangkap bekas Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005, Datuk Dell Akbar Khan dilantik mengetuai badan siasatan bebas berkenaan.

Beliau berkata, Dell Akbar yang juga bekas Ketua Polis Kuala Lumpur diberi mandat untuk melantik beberapa individu lain bagi menganggotai badan siasatan bebas itu terdiri daripada mereka yang pernah memegang jawatan dalam bola sepak.

"Ia termasuk bekas pemain serta jurulatih, tetapi tidak memegang sebarang jawatan mahu pun menganggotai mana-mana jawatankuasa FAM ketika ini," kata Hamidin yang kini difahamkan berada di luar negara kerana perlu menyelesaikan urusan penting keluarga.

Gambar fail, bekas pemain kebangsaan merangkap bekas Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005, Datuk Dell Akbar Khan. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD
Gambar fail, bekas pemain kebangsaan merangkap bekas Setiausaha Agung FAM dari 2000 hingga 2005, Datuk Dell Akbar Khan. - Foto NSTP/AIZUDDIN SAAD

"Tugas utama badan bebas ini adalah untuk melakukan bedah siasat terlebih dahulu terhadap laporan dan analisis lengkap daripada barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan kebangsaan mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura, tempoh hari yang sudah siap dan diserahkan kepada Sekretariat FAM, baru-baru ini.

"Hasil bedah siasat daripada Badan Siasatan Bebas Pasukan Harimau Malaya ini seterusnya akan dibentangkan oleh Datuk Dell Akbar bersama langkah-langkah penambahbaikan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM untuk dibincangkan."

Pada kempen Piala Suzuki AFF 2020 bulan lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe mencatat dua kemenangan awal ke atas Kemboja 3-1 dan Laos 4-0, namun tewas baki dua perlawanan Kumpulan B selepas itu kepada Vietnam 3-0 dan Indonesia 4-1, sekali gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Kegagalan mencapai sasaran layak ke final kejohanan itu juga membawa kepada peletakan jawatan oleh Cheng Hoe pada Isnin lalu.

Berita Harian X