Selasa, 4 Januari 2022 | 10:29pm
Gambar fail - Datuk Ong Kim Swee. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.
Gambar fail - Datuk Ong Kim Swee. - Foto NSTP/Owee Ah Chun.

KPI pengganti Cheng Hoe mesti layak Piala Asia

KUALA LUMPUR: "Bagi saya, sama ada jurulatih tempatan atau luar, yang penting semua pihak perlu beri kerjasama kepada sesiapa sahaja yang diberi mandat memikul tanggungjawab untuk menggantikan Tan Cheng Hoe,".

Demikian pendapat bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee apabila ditanya mengenai calon sesuai menggantikan Cheng Hoe yang meletak jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya semalam.

Bekas Pengarah Teknikal FAM itu juga tidak meletakkan sebarang pilihan sama ada jurulatih tempatan atau pun luar negara sebagai calon terbaik mengendalikan skuad kebangsaan namun katanya, pengganti Cheng Hoe, perlu mempunyai petunjuk prestasi utama (KPI) layak ke Piala Asia 2023.

"Pada hemat saya, ketika ini sesiapa sahaja, jika diberi peluang mempunyai masa yang cukup untuk melengkapkan pasukan ke kelayakan Piala Asia.

"Tetapi jurulatih baharu ini perlu diberikan KPI berjaya dalam kelayakan Piala Asia dan bukan lagi demi pendedahan kerana jika tidak, kita akan tetap berdepan masalah sama saban kali berdepan mana-mana kejohanan atau perlawanan," katanya.

Semalam, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar mengumumkan Cheng Hoe mengambil keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAM.

Dia dilantik ke jawatan berkenaan sejak Disember 2017 menggantikan Nelo Vingada. Secara keseluruhannya Cheng Hoe berkhidmat bersama FAM selama 14 tahun bermula sebagai penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005.

Terdahulu, Cheng Hoe dikecam hebat selepas skuad Harimau Malaya tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini termasuk ada sesetengah pihak yang mendesaknya melepaskan jawatan.

Mengulas lanjut, Kim Swee berkata, keputusan yang diambil Cheng Hoe itu perlu dihormati sekalipun ia diputuskan sebelum bedah siasat dan laporan penuh Piala Suzuki AFF 2020 dikeluarkan.

"Adalah lumrah sebagai jurulatih terutama yang mengendalikan skuad kebangsaan berdepan dengan risiko tinggi dan apa yang berlaku sudah dijangka.

"Keputusan dalam perlawanan sangat penting bagi skuad kebangsaan dan apabila gagal, semua pihak akan menuding jari, namun sememangnya jurulatih akan mengambil tanggungjawab.

"Pastinya tindakan Cheng Hoe tidak mudah namun saya yakin beliau mengambil langkah sedemikan demi kebaikan semua pihak terutama skuad kebangsaan.

"Itu pilihan beliau, maka keputusan itu perlu kita hormati," katanya yang turut mengharapkan semua pihak menghargai jasa dan sumbangan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan sejak 2005.

Berita Harian X