Selasa, 4 Januari 2022 | 2:31pm
Tan Cheng Hoe (tiga kanan) ketika membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini. - Foto ihsan Facebook FAM.
Tan Cheng Hoe (tiga kanan) ketika membimbing skuad Harimau Malaya sebelum ini. - Foto ihsan Facebook FAM.

Siapa bakal ganti Cheng Hoe?

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe menjelaskan dia mahu berehat terlebih dahulu selepas meletak jawatan sebagai pengendali skuad kebangsaan seperti yang diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Bekas pengendali Kedah yang dianggap sangat profesional walaupun berada dalam tekanan, melepaskan jawatan susulan kegagalan skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke final Piala Suzuki AFF 2020, baru-baru ini.

"Saya ambil keputusan letak jawatan setelah pasukan tidak mencapai sasaran ke final Piala AFF. Saya nak berehat dulu dan setakat ini memang tak ada apa-apa perancangan lagi," kata Cheng Hoe kepada BH Sukan.

Semalam Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengumumkan Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatannya sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan selepas mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAM.

Cheng Hoe dikecam hebat selepas skuad Harimau Malaya tersingkir pada peringkat kumpulan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, baru-baru ini termasuk ada sesetengah pihak yang mendesaknya melepaskan jawatan.

Peletakan jawatan Cheng Hoe turut mencetuskan persoalan mengenai masa depan skuad Harimau Malaya dengan FAM perlu mendapatkan pengendali baharu secepat mungkin terutama bagi mengharungi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 pertengahan tahun ini.

Susulan perkembangan itu, terdapat khabar angin pengendali skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Brad Maloney akan memangku tugas sebagai jurulatih sementara skuad Harimau Malaya.

Malah, spekulasi turut muncul bahawa pengendali KL City, Bojan Hodak sebagai antara nama yang dijangka boleh memikul tugas di kerusi panas itu.

Selain itu, terdapat juga beberapa cadangan sebelum ini supaya FAM mengambil jurulatih dari Korea Selatan atau Jepun selepas pengendali dari dua negara itu berjaya menaikkan prestasi beberapa pasukan Asia Tenggara termasuk Vietnam dan Indonesia.

Dalam pada itu, Mohd Saifuddin menjelaskan Cheng Hoe sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAM dan menyatakan hasrat melepaskan jawatannya berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.

Katanya, selepas berbincang secara terbuka dari semua sudut, pengurusan FAM akhirnya menghormati keputusan berkenaan dan bersetuju untuk melepaskan Cheng Hoe menerusi persetujuan bersama kedua-dua pihak.

"FAM mengucapkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Cheng Hoe yang secara keseluruhannya sudah berkhidmat selama 14 tahun bersama FAM sejak bergelar penolong jurulatih skuad B-20 kebangsaan pada 2005 hingga 2013 sebagai penolong jurulatih kebangsaan dan kembali semula pada 2017 sebagai penolong jurulatih kebangsaan kepada Nelo Vingada.

"Antara kejayaan yang diraih beliau ialah membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010 ketika bergelar pembantu kepada Datuk K Rajagobal serta naib juara Piala Suzuki AFF 2018 selaku ketua jurulatih.

"Jasa dan sumbangan beliau akan sentiasa dikenang. Selamat maju jaya juga kepada Cheng Hoe dalam meneruskan karier kejurulatihannya selepas ini," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Skuad Harimau Malaya tersingkir awal dari Piala Suzuki AFF 2020 selepas menduduki tangga ketiga Kumpulan B, sekali gus gagal mencapai sasaran yang ditetapkan untuk layak ke final.

Berita Harian X