Isnin, 3 Januari 2022 | 6:13pm
 Gambar fail - Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.
Gambar fail - Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe. - Foto NSTP/Mohd Fadli Hamzah.

'Saya bukan kambing hitam kegagalan di Singapura'

KUALA LUMPUR: Tan Cheng Hoe menegaskan bahawa dia tidak menjadi 'kambing hitam' kepada mana-mana pihak bagi menutup kegagalan skuad kebangsaan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 baru-baru ini.

Ia susulan bekas pengendali Kedah itu bertindak melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya hari ini selepas gagal mencapai sasaran layak ke final kejohanan yang berlangsung di Singapura itu.

Mengakui bukan satu keputusan yang mudah untuk dibuat, Cheng Hoe juga menjelaskan bahawa tiada mana-mana pihak yang mendesaknya untuk melepaskan jawatan.

Katanya, keputusan melepaskan jawatan itu kerana mahu mengambil 100 peratus tanggungjawab atas kegagalan skuad kebangsaan serta memberi peluang kepada jurulatih lain yang boleh membawa skuad Harimau Malaya ke tahap lebih baik.

"Ia (keputusan letak jawatan) daripada isi hati saya dan bukan mudah buat keputusan yang drastik sepanjang karier saya sebagai jurulatih," katanya ketika temu bual bersama stesen televisyen swasta, ASTRO Arena, hari ini.

"Tapi, setiap jurulatih perlu melalui situasi ini kerana dalam bola sepak pemain datang dan pergi, jurulatih juga datang dan pergi. Itu sebab saya ambil keputusan untuk kebaikan bola sepak terutama pasukan kebangsaan.

"Saya tak rasa saya dikambing hitamkan. Sudah pasti saya ambil itu sebagai cabaran kepada saya kerana sebagai jurulatih memang kita nak sasar sesuatu dan kalau saya gagal, sebab itulah saya letak jawatan."

Terdahulu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi setiausaha agungnya, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengumumkan Cheng Hoe membuat keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Beliau menjelaskan Cheng Hoe sudah mengadakan perbincangan dengan pengurusan FAM dan menyatakan hasrat itu berikutan kegagalan skuad Harimau Malaya melangkah ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020.

Selain itu, Cheng Hoe turut berterima kasih kepada barisan pengurusan FAM dan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim serta penyokong yang banyak memberikan sokongan kepadanya sepanjang bertindak sebagai ketua jurulatih skuad Harimau Malaya.

"Sebagai jurulatih, saya akan teruskan kerjaya dan saya berharap pada masa akan datang, saya akan membuat lebih baik dari apa yang saya ada sekarang," katanya.

Berita Harian X