Isnin, 27 Disember 2021 | 8:10pm
Skuad Melaka akan dibarisi pemain berstatus bintang musim depan selepas pemilik pasukan menyediakan peruntukan RM20 juta.
Skuad Melaka akan dibarisi pemain berstatus bintang musim depan selepas pemilik pasukan menyediakan peruntukan RM20 juta.

Dana RM20 juta mantapkan Melaka

KUALA LUMPUR: Melaka United memberi amaran awal untuk mencipta kejutan dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas bakal berbelanja sekitar RM20 juta selain membawa masuk pemain berstatus bintang.

Pemiliknya, Datuk Seri Justin Lim berkata peruntukan yang dinaikkan sekali ganda itu dilakukan memandangkan mereka meletakkan sasaran untuk berada dalam kelompok tiga pasukan terbaik pada musim depan.

Jelasnya, peruntukan itu dibuat bagi memastikan skuad 'Hang Tuah' mampu berdaya saing sekali gus memberi cabaran sengit kepada pasukan lain.

"Kita mahu tampil lebih meyakinkan pada musim depan dengan meningkatkan lagi peruntukan kira-kira sekali ganda berbanding pada musim ini.

"Ada beberapa pemain baharu akan dibawa masuk untuk menguatkan lagi pasukan dan perkara itu akan diumumkan nanti," katanya.

Setakat ini, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu sudah membawa masuk dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT), Fadhli Shas dan juga Syazwan Andik bagi memperkukuh benteng pertahanan mereka.

Malah, mereka berjaya 'memancing' khidmat penjaring terbanyak Liga Super, Ifedayo Olusegun.

Dalam perkembangan lain, Justin turut mengharapkan penyokong dapat terus berdiri teguh di belakang pasukan apabila saingan Liga M membuka tirainya nanti.

"Saya mengharapkan sokongan padu daripada penyokong Melaka United dan perkara itu membantu pasukan untuk terus menampilkan aksi terbaik pada musim depan," katanya.

Berita Harian X