Sabtu, 25 Disember 2021 | 9:15am
Faiq Bolkiah mendapat peluang kedua dalam karier bola sepaknya apabila dilamar pasukan Thailand Chonburi FC. - Foto ihsan Chonburi FC
Faiq Bolkiah mendapat peluang kedua dalam karier bola sepaknya apabila dilamar pasukan Thailand Chonburi FC. - Foto ihsan Chonburi FC

Chonburi FC lamar Faiq Bolkiah

BANGKOK: Faiq Bolkiah mendapat peluang kedua dalam karier bola sepaknya apabila dilamar pasukan Thailand Chonburi FC selepas dilepaskan oleh Maritimo.

Faiq, 23, anak saudara Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, mempunyai nilai kekayaan 13 bilion pound (RM73.02 bilion) dan mempunyai enam kap bersama pasukan kebangsaannya.

Faiq sebelum ini menyertai akademi bola sepak Southampton, Chelsea dan Leicester sebelum berpindah ke kelab Portugal Maritimo.

Namun dia dilepaskan kelab berkenan awal bulan ini tanpa sebarang penampilan bersama skuad utama.

Peluang buat Faiq membuktikan kemampuannya di atas padang kembali terbuka apabila Chonburi, yang kini di tangga ketiga liga tertinggi Thailand, melamarnya.

Bos Chonburi Sasit Singtothong bagaimanapun menafikan langkah menandatangani pemain itu adalah kerana kekayaannya, sebaliknya ia berdasarkan kualitinya.

"Memang menarik untuk pasukan mempunyai pemain yang mendapat liputan media di seluruh dunia. Dia pemain bola sepak paling kaya di dunia. Namun itu di luar padang.

"Kami memberi perhatian kepada pemain-pemain yang akan meningkatkan potensi mereka. Pertama sekali kami rasa dia cukup profesional. Dia tidak mahu layanan istimewa lebih daripada seorang pemain profesional.

"Saya percaya dia adalah pilihan baik untuk serangan kami kerana dia mempunyai kemahiran dan keupayaan, termasuk pengalaman bermain di England.

"Ia bagus untuk kelab kami bersaing di Liga Thai," kata Singtothong. - AGENSI

Berita Harian X