Khamis, 23 Disember 2021 | 6:23pm
Gambar fail - Legenda bola sepak negara, Azman Adnan.
Gambar fail - Legenda bola sepak negara, Azman Adnan.

Pemain tak cergas punca gagal

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Azman Adnan menyifatkan masalah pemain tidak cergas sebagai antara punca kegagalan skuad Harimau Malaya mencapai sasaran layak ke final Piala Suzuki AFF 2020.

Secara peribadi, bekas pemain kebangsaan itu melihat tiada medan aksi persahabatan dan hanya menjalani kem latihan selama enam hari menjadi penyumbang terbesar kepada kegagalan di Singapura.

Malah, beliau menjelaskan perkara itu dapat dibuktikan dengan melihat prestasi skuad Harimau Malaya dibawah kendalian Tan Cheng Hoe selama empat tahun kebelakangan ini amat baik berdasarkan beberapa perubahan positif dalam skuad kebangsaan terutama dari segi ranking.

"Jadi hanya kerana gagal dalam Piala AFF kali ini, skuad Harimau Malaya yang juga naib juara 2018 terus dikecam hebat tanpa kita lihat mana puncanya. Yang mana hanya 24 pemain yang kurang cergas dan tidak cukup minit perlawanan dipilih.

"Pada hemat saya, keadaan memaksa jurulatih membawa pemain yang ada dan memburukkan keadaan tempoh persiapan kem latihan juga hanya enam hari.

"Memang tidak dinafikan saya berang kerana sebagai pemain mereka harus bersedia membawa tanggungjawab negara pada bila-bila masa, sama seperti saya dahulu.

"Kemudian, saya membuat penilaian sendiri yang mana jika kita lihat final Piala Malaysia berlangsung 30 November dan pemain harus segera berlepas ke Singapura. Pemilihan pemain juga mungkin berdepan kekangan kerana kesuntukkan masa untuk mendaftar 30 pemain," katanya.

Selain itu, Azman yang juga bekas penyerang berbisa Selangor menganggap kegagalan di Piala Suzuki AFF itu adalah tanggungjawab bersama dan bukan ditujukan kepada sesetengah individu sahaja.

Katanya, skuad Harimau Malaya berjuang di Singapura tanpa sebarang persediaan termasuk tiada langsung perlawanan persahabatan jika dibandingkan dengan Indonesia yang berlatih di Turki selama sebulan.

"Kata orang, kalau tak pandai menari jangan salahkan lantai. Semua pihak sebaiknya memberi sokongan terhadap pihak pengurusan, kejurulatihan dan pemain kebangsaan supaya Harimau Malaya dapat bangkit lebih baik.

"Menang sama-sama, kalah pun biar sama-sama. Akui pahit untuk ditelan tetapi janganlah kita mudah menjatuh hukum dengan mendesak seseorang atau pihak tertentu untuk mengundur diri," katanya.

Mengulas lanjut, pemenang Piala Malaysia empat kali itu tidak menyalahkan tindakan FAM meletakkan sasaran ke final pada Piala Suzuki AFF 2020 demi menaikkan motivasi dan kepercayaan pemain.

"Kalau tak letak sasaran paling terbaik, ia seakan tidak percaya kepada pasukan sendiri. Jadi, bagi saya tindakan itu (sasar ke final) tidak salah.

"Apapun, memang kali ini Vietnam dan Indonesia sangat mudah menjinakkan kita, tetapi ia disebabkan kurangnya persiapan rapi akibat keadaan semasa yang memaksa," katanya.

Berita Harian X