Rabu, 22 Disember 2021 | 6:18pm
Pertahanan Melaka United FC (MUFC), Akmal Zahir. - Foto ihsan Facebook MUFC.
Pertahanan Melaka United FC (MUFC), Akmal Zahir. - Foto ihsan Facebook MUFC.

Akmal kekal bersama Melaka United

MELAKA: Pertahanan kental Melaka United FC (MUFC), Akmal Zahir bersetuju untuk kekal bersama pasukannya itu musim depan walaupun sudah menerima beberapa tawaran baik dari kelab lain.

Akmal mengakui berada dalam dilema sama ada untuk kekal atau sebaliknya selepas mendapat tawaran daripada Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC bagi menghadapi saingan musim 2022.

Dia mengakui hatinya lebih berat untuk menyertai negeri kelahirannya Kedah ketika itu namun selepas membuat penilaian semua dan mendapat pandangan ahli keluarga, akhirnya beliau mengambil keputusan kekal.

Malah dia yang melangsungkan perkahwinan menjelang pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur City (KL City) bulan lalu, turut mengakui jika kekal bersama Melaka United jaraknya dengan keluarga dan isteri lebih dekat.

"Isteri bekerja di Seri Kembangan, Selangor. Justeru ia memudahkan urusan kami jika kekal di Melaka. Dalam masa sama pengurusan dan barisan kejurulatihan juga menunjukkan minat dan kesungguhan tinggi untuk saya kekal bersama skuad Hang Tuah musim depan," katanya.

Akmal yakin Melaka bakal menjadi antara pencabar terkuat Liga Malaysia 2022 menerusi kehadiran pemain baharu berwibawa menerusi gabungan pemain mantap musim ini.

Dia menyertai Melaka United pada 2020 dan sebelumnya menyarung jersi UKM FC selama dua musim.

Berita Harian X