Rabu, 22 Disember 2021 | 5:51pm
Pertahanan skuad Harimau Malaya, Rizal Ghazali (depan) bersaing dengan pemain Indonesia pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Ahad lalu. - Foto ihsan Facebook FAM.
Pertahanan skuad Harimau Malaya, Rizal Ghazali (depan) bersaing dengan pemain Indonesia pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura, Ahad lalu. - Foto ihsan Facebook FAM.

Wan Jamak bagi 3.5 bintang kepada Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya diberikan sebanyak 3.5 bintang daripada lima berdasarkan prestasi keseluruhan mereka sepanjang empat perlawanan pada saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Markah itu diberikan jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan ketika ditanya

mengenai jumlah bintang yang layak diberikan kepada skuad Tan Cheng Hoe berdasarkan prestasi mereka pada kejohanan itu.

Beliau yang juga bekas pengendali skuad kebangsaan berkata, Persatuan Bolasepak Sepak Malaysia (FAM) perlu mencari jalan untuk memastikan skuad Harimau Malaya bangkit pada masa akan datang dan tidak lagi menjadi pasukan belasahan terutama di peringkat Asia Tenggara.

"Sudah pasti sebagai peminat sukan, kita tak mahu lihat lagi pasukan kita diperbudak-budakan atau dipermain-mainkan oleh pasukan peringkat Asia Tenggara seperti Vietnam, Indonesia dan juga mungkin Singapura.

"Tindakan perlu dilakukan oleh pihak pengurusan. Mereka lagi tahu apa nak buat untuk mencetuskan kebangkitan pasukan negara kita pada masa akan datang," katanya kepada BH Sukan.

Skuad negara menewaskan Kemboja dan Laos sebelum tewas di tangan juara bertahan, Vietnam dan Indonesia dalam saingan Kumpulan B kejohanan itu.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Tan Cheng Hoe menamatkan saingan di kedudukan ketiga kumpulan, seklai gus gagal melangkah ke separuh akhir.

Susulan dari kegagalan itu, FAM dan Cheng Hoe dikecam hebat akibat dengan ada segelintir pihak dan penyokong mendesak bekas pengendali Kedah itu dipecat atau meletak jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya.

Selain itu, Wan Jamak menganggap perbezaan kualiti individu antara pemain skuad Harimau Malaya dengan pemain Vietnam dan Indonesia menjadi antara punca skuad negara tersingkir awal pada edisi kali ini.

"Kita tiada pemain yang berani berlari dan membuat hantaran di celah pemain lawan, kalau ada pun tak kerap. Tapi kalau tengok pemain Vietnam dan Indonesia, mereka kerap melakukan hantaran di celah lorong pemain kita.

"Malah jika kita lihat secara individu pemain Vietnam dan Indonesia, mereka berani. Berbeza pemain kita macam tak berani bila dapat bola untuk menggunakan kemahiran individu seperti menggelecek bola dan berlari dengan bola.

"Bukan sebab saya bekas jurulatih saya dan saya nak pertahankan jurulatih, tidak. Tapi, dalam keadaan sekarang ini kita tak boleh menuding jari kepada sesiapa dan yang penting kita tunggu laporan dari skuad kebangsaan, apa yang mereka akan bentangkan," katanya.

Berita Harian X