Isnin, 20 Disember 2021 | 9:48pm
Pemain Indonesia, Asnawi Mangkualam Bahar (atas kanan) menanduk bola sambil disaing pemain Malaysia, Arif Aiman Hanafi pada aksi Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional Singapura, semalam. Malaysia tewas 4-1 sekali gus gagal mara ke separuh akhir. - Foto AFP.

Piala Suzuki: FAM ambil tanggungjawab kegagalan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bertanggungjawab sepenuhnya atas kegagalan pasukan kebangsaan mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

FAM dalam satu kenyataan hari ini berkata Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin sudah mengarahkan pengurusan pasukan kebangsaan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap berkenaan prestasi skuad Harimau Malaya.

Laporan mengenai prestasi pasukan kebangsaan sepanjang kempen di Singapura itu perlu dikemukakan kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Pada aksi Piala Suzuki AFF 2020, skuad kendalian Tan Cheng Hoe berjaya mencatat kemenangan ke atas Laos dan Kemboja, namun tewas kepada Vietnam dan Indonesia yang sekali gus meranapkan impian mereka tempat ke separuh akhir.

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar dalam kenyataan sama berkata laporan bedah siasat itu akan diteliti oleh Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Berita Harian X