Ahad, 19 Disember 2021 | 7:06pm
Pasukan Melaka United meraikan jaringan mereka dalam satu aksi musim ini. Skuad baharu Hang Tuah dijadual diumumkan pada penghujung tahun ini.
Pasukan Melaka United meraikan jaringan mereka dalam satu aksi musim ini. Skuad baharu Hang Tuah dijadual diumumkan pada penghujung tahun ini.

Melaka United umum skuad hujung tahun ini

MELAKA: Barisan pemain dan kejurulatihan Melaka United FC (MUFC) yang bakal menunjangi pasukan berkenaan pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan, akan diumumkan sebelum penghujung tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Wira Justin Lim Hwa Tat berkata buat masa ini pengurusan pasukan sedang dalam proses perbincangan akhir dan akan mengumumkannya sebelum 31 Disember ini.

"Pengurusan MUFC sedang merencanakan strategi dan pelan terbaik bersesuaian dengan bajet pasukan dalam misi kami untuk menampilkan saingan hebat dalam Liga M musim depan.

"Sokongan penyokong MUFC amat dihargai dan semoga dengan sokongan terbabit akan menjadi pemangkin kepada kelab untuk terus mencipta kejayaan demi kebanggaan kita bersama pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan.

Melaka United beraksi cemerlang musim ini apabila menyamai rekod mara ke separuh akhir Piala Malaysia 1983. Langkah mereka terhenti di peringkat berkenaan kepada Kuala Lumpur (KL) City FC.

Sebelum ini, skuad Hang Tuah membawa masuk dua pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Fadhli Shas dan Syazwan Andik selain penjaring terbanyak Liga Super musim 2021, Ifedayo Olusegun.

Dua pemain musim ini, Che Rashid Che Halim dan Jang Suk Won (Korea Selatan) pula masing-masing menyertai Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Berita Harian X