Sabtu, 18 Disember 2021 | 6:07pm
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto ihsan ASEAN Football Federation
Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe. - Foto ihsan ASEAN Football Federation

Piala Suzuki: Cheng Hoe mungkin rombak Harimau Malaya

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberi bayangan akan melakukan rombakan di bahagian serangan Harimau Malaya bagi menghadapi aksi hidup mati berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Singapura, esok.

Ia selepas Cheng Hoe menjelaskan barisan kejurulatihan sedang membuat analisis bagi memilih percaturan terbaik di bahagian serangan termasuk mungkin menukarkan Luqman Hakim Shamsudin yang sebelum ini memainkan peranan sebagai penyerang utama berdepan Laos dan Vietnam.

Keadaan itu sekali gus mencetuskan beberapa persoalan termasuk terdapat kemungkinan bahawa Guilherme De Paula akan kembali berada dalam kesebelasan utama Harimau Malaya untuk berdepan skuad Garuda pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 itu.

"Kami mempunyai tempoh 24 jam untuk memutuskan pilihan (barisan pemain) yang terbaik bagi berdepan Indonesia. Kita tahu mereka beraksi dengan sangat baik menentang Vietnam dan pertahanan mereka cukup berdisiplin.

"Sudah pasti kami membuat analisa yang mana langkah terbaik dan memilih pemain terbaik untuk menggantikan Luqman. Bagaimanapun saya percaya Luqman masih lagi sebahagian daripada pasukan," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Selain De Paula, Cheng Hoe turut memiliki seorang lagi penyerang, Shahrel Fikri Fauzi yang mungkin berpotensi untuk diberi tugas besar merobek gawang Indonesia.

Ketajaman penyudah jentera serangan sangat ditagih Harimau Malaya untuk berdepan Indonesia kerana anak buah Cheng Hoe wajib meraih kemenangan untuk melangkah ke separuh akhir.

Selain itu, Cheng Hoe turut mengakui lega selepas dua pemain, Akhyar Rashid yang positif COVID-19 dan Junior Eldstal yang sebelum ini mengalami kecederaan sudah kembali menyertai pasukan.

"Saya fikir ia masa yang tepat buat pasukan kerana semua boleh bermain kecuali hanya Aidil dan Shahrul Saad. Tapi dengan skuad hampir lengkap ini, saya fikir semua pemain lebih yakin untuk menghadapi perlawanan penting ini," katanya.

Rekod Pertemuan Malaysia-Indonesia

November 2019 (kelayakan Piala Dunia) Malaysia 2 Indonesia 0

September 2019 (kelayakan Piala Dunia) Indonesia 2 Malaysia 3

September 2016 (persahabatan) Indonesia 3 Malaysia 0

September 2014 (persahabatan) Indonesia 2 Malaysia 0

Disember 2012 (Piala AFF) Malaysia 2 Indonesia 0

Disember 2010 (Piala AFF) Indonesia 2 Malaysia 1

Disember 2010 (Piala AFF) Malaysia 3 Indonesia 0

Disember 2010 (Piala AFF) Indonesia 5 Malaysia 1

Berita Harian X