Selasa, 14 Disember 2021 | 8:09pm
Tan Cheng Hoe (dua kanan) mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Yishun, Singapura, beberapa hari lalu. - Foto ihsan Facebook FAM.
Tan Cheng Hoe (dua kanan) mengendalikan sesi latihan skuad Harimau Malaya di Stadium Yishun, Singapura, beberapa hari lalu. - Foto ihsan Facebook FAM.

Piala Suzuki: 'Elak diperangkap Indonesia'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan anak buahnya perlu mengelak memasuki perangkap Indonesia pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Nasional, Singapura, Ahad ini.

Pengendali berusia 53 tahun itu berkata, barisan pemain sentiasa dinasihatkan supaya tidak termakan dengan sebarang provokasi sama ada di dalam atau luar padang yang boleh mengganggu fokus mereka dalam perlawanan getir itu.

Katanya, barisan kejurulatihan juga sedang merencanakan taktikal atau strategi terbaik untuk mengatasi skuad Garuda dan merebut tiket ke pusingan separuh akhir.

"Setiap kali menentang Indonesia, ia akan menjadi perlawanan sengit dan (kedua-dua pasukan) menjadi musuh tradisi dalam rantau Asia Tenggara.

"Kita lihat sejarah dalam bola sepak memang keputusan sangat sengit dan kita harap suasana perlawanan berjalan dengan baik yang mana kita tak mahu pemain diganggu dengan emosi tinggi kerana provokasi kadang-kadang berlaku.

"Saya sentiasa nasihat pemain bahawa tugas kita hanya fokus kepada perlawanan sahaja, kita tak fokus mengenai provokasi dari luar atau dari keputusan pengadil kerana misi kali kita kena menang untuk layak ke separuh akhir," katanya.

Skuad Harimau Malaya yang kini berada di kedudukan ketiga kumpulan dengan mengumpul enam mata perlu menewaskan Indonesia untuk melangkah ke separuh akhir.

Indonesia yang berada di tangga teratas dan turut berkongsi enam mata bersama Vietnam akan menentang skuad Naga Emas dahulu, hari ini sebelum membuat perhitungan dengan Harimau Malaya.

Selain itu, Cheng Hoe turut mengakui pasukannya tidak boleh memandang mudah terhadap kemampuan Indonesia walaupun pasukan kebangsaan meraih dua kemenangan ke atas skuad Garuda dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019.

"Kalau kita lihat dalam pasukan Indonesia sekarang banyak perbezaan dari segi permainan dan pemain kerana jurulatih Korea Selatan, Shin Tae-yong membawa generasi baru untuk skuad mereka.

"Pemain mereka lebih muda dan bertenaga. Kita lihat kelajuan setiap pemain mereka cukup baik, cukup pantas, dan kita harap tidak terperangkap dengan corak permainan mereka," katanya.

Berita Harian X