Selasa, 14 Disember 2021 | 7:35pm
Pemain tengah skuad kebangsaan, R Kogileswaran ketika menyertai sesi latihan skuad kebangsaan. - Foto ihsan Facebook FAM.
Pemain tengah skuad kebangsaan, R Kogileswaran ketika menyertai sesi latihan skuad kebangsaan. - Foto ihsan Facebook FAM.

Piala Suzuki: 'Kami akan bangkit lawan Indonesia'

KUALA LUMPUR: Pemain tengah skuad kebangsaan, R Kogileswaran menegaskan skuad Harimau Malaya akan bermain mati-matian pada aksi terakhir Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 berdepan Indonesia di Stadium Nasional, Singapura, Ahad ini.

Justeru, pemain berusia 23 tahun itu menjelaskan dia dan rakan sepasukan perlu melupakan kekalahan di tangan Vietnam, Ahad lalu bagi memberi fokus sepenuhnya untuk aksi hidup mati berdepan Indonesia.

Katanya, perkara paling penting buat semua pemain ketika ini adalah untuk mempersiapkan diri bagi memastikan pasukan kebangsaan bangkit meraih kemenangan ke atas skuad Garuda dan melayakkan diri ke separuh akhir.

"Semua sedih selepas selepas kekalahan (berdepan Vietnam) itu, ia normal, tapi paling penting adalah perlawanan dengan Vietnam bukan penamat buat pasukan kebangsaan kita.

"Kita kena lupakan secepat mungkin lawan Vietnam untuk lebih fokus lawan Indonesia. Bukan senang, bola sepak ada naik dan turun, jadi yang paling penting kita nak bangkit lawan Indonesia," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Skuad Harimau Malaya ketika ini berada di kedudukan ketiga kumpulan, berkongsi enam mata bersama Indonesia dan Vietnam yang menghuni dua tangga teratas.

Anak buah Tan Cheng Hoe wajib menewaskan skuad Garuda yang dibimbing jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong untuk memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Harimau Malaya.

Menaruh keyakinan bahawa Malaysia mempunyai keupayaan untuk menundukkan skuad Garuda, Kogileswaran bagaimanapun menjelaskan pasukannya juga perlu mengelak dari sikap terlalu yakin yang boleh memakan diri.

"Kita dahagakan kemenangan berdepan Indonesia sebab kita tahu Indonesia dan Malaysia memang pesaing yang besar, jadi kita tak nak mengalah lawan mereka," katanya.

Berita Harian X