Isnin, 13 Disember 2021 | 8:37pm
Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, semalam. Vietnam menang 3-0. - Foto ihsan Facebook FAM.
Aksi skuad Harimau Malaya (jersi kuning) ketika menentang Vietnam pada saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, semalam. Vietnam menang 3-0. - Foto ihsan Facebook FAM.

Piala Suzuki: 'Bukan salah taktikal'

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menganggap kekalahan 0-3 skuad bimbingannya di tangan Vietnam dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura semalam berpunca dari kesilapan taktikal.

Sebaliknya, bekas pengendali Kedah itu menyifatkan sikap terlalu menghormati pemainnya terhadap skuad Naga Emas terutama pada babak pertama menjadi antara faktor pasukan kebangsaan tidak berjaya mendapatkan keputusan lebih positif pada aksi ketiga Kumpulan B itu.

Katanya, kecederaan menimpa Aidil Zafuan Abd Radzak yang menyaksikan kapten skuad Harimau Malaya itu terpaksa digantikan dengan Dominic Tan pada minit ke-24, juga menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Bukan satu kesilapan taktikal tapi pemain lebih berjaga-jaga pada separuh masa pertama dan kita tahu mungkin pemain kita terlalu menghormati barisan pemain Vietnam.

"Sebab itu kita hari ini, berundur (bermain) ke belakang, terlalu banyak bertahan dan terlalu awal untuk kita membuat penggantian Aidil dan itu menjejaskan rentak permainan pasukan.

"Sudah pasti dengan kemasukan dua pemain iaitu R Kogileswaran dan Guilherme De Paula (pada babak kedua) sedikit sebanyak memberi kita ruang untuk bergerak ke hadapan," katanya.

Kekalahan kepada Vietnam itu menyaksikan skuad Harimau Malaya yang sebelum ini mendahului kumpulan dengan mengumpul enam mata selepas menundukkan Kemboja dan Laos, jatuh ke tangga ketiga.

Vietnam dan Indonesia yang turut mengumpul enam mata menghuni kedudukan kedua dan teratas kumpulan kerana memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.

Selain itu, Cheng Hoe turut menjelaskan kekalahan di tangan Vietnam memberi pengajaran besar buat anak buahnya untuk bangkit pada aksi terakhir kumpulan berdepan Indonesia pada 19 Disember ini yang akan menentukan nasib skuad Harimau Malaya untuk ke separuh akhir.

"Ia (kalah dengan Vietnam) bukan mengejutkan kerana kami sudah banyak kali berdepan Vietnam dan kami tahu bagaimana cara mereka bermain, taktikal mereka.

"Sudah pasti jika kami kami memiliki skuad lengkap, kami akan lebih yakin berdepan Vietnam dan disebabkan situasi COVID-19 serta masalah kecederaan, saya fikir moral pemain menurun," katanya.

Berita Harian X