Isnin, 13 Disember 2021 | 8:26pm
Bekas pemain Melaka United, Jang Suk-won. - Foto ihsan Facebook KDA FC.
Bekas pemain Melaka United, Jang Suk-won. - Foto ihsan Facebook KDA FC.

Kedah ikat pemain Korea Selatan

ALOR SETAR: Kedah Darul Aman FC (KDA FC) kembali menggunakan khidmat pemain Korea Selatan apabila mengesahkan bekas pemain Melaka United, Jang Suk-won menyertai mereka bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Pengumuman pemain import pertama musim depan itu dibuat media rasmi KDA FC semalam.

Kali terakhir Kedah mengikat pemain Korea Selatan bagi mengisi kuota Asia adalah pada musim 2015 dan 2016 menerusi penyertaan pemain pertahanan Bang Seung Hwan.

"Pengalaman Jang yang telah beraksi dalam liga tempatan dijangka memberi kelebihan kepada beliau untuk mudah menyesuaikan diri bersama rakan sepasukan ketika pramusim ini.

"Posisi tengah pertahanan KDA FC kini dibawah tanggungjawabnya apabila bakal bergandingan dengan beberapa muka baru. Jang Suk-Won, berjuanglah sejiwa murni, tekun berani sesungguh hati," kata kenyataan berkenaan menerusi media sosial.

Pengalaman Suk-won selama tiga tahun bersama Melaka United pastinya ditagih Kedah selepas skuad berkenaan tidak menyambung khidmat pertahanan dari Brazil, Renan Alves yang beraksi selama tiga musim sebelum ini.

Pemain berusia 32 tahun ini pernah menampilkan keupayaannya bersama Seongnam FC yang beraksi dalam K League 1, iikuti beraksi J League 2 bersama kelab Fagiano Okayama FC sebelum menyambung aksinya bersama Melaka United sejak 2017.

Selain Jang dan Bang, Kedah juga pernah mengikat pemain kelahiran Seoul iaitu Namkung Woong yang turut beraksi cemelang bersama Kedah pada musim 2014.

Berita Harian X