Isnin, 13 Disember 2021 | 5:23pm
Luqman Hakim Shamsudin (empat dari kiri) bersama rakan sepasukan sebelum aksi menentang Vietnam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.
Luqman Hakim Shamsudin (empat dari kiri) bersama rakan sepasukan sebelum aksi menentang Vietnam saingan Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di Stadium Bishan, Singapura, semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.

Piala Suzuki: Cheng Hoe tak salahkan Luqman

KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe tidak menyalahkan Luqman Hakim Shamsudin kerana gagal menyempurnakan peluang terhidang untuk mendapatkan gol buat skuad Harimau Malaya ketika berdepan Vietnam, semalam.

Percubaan jarak dekat pemain kelab Belgium, KV Kortrijk itu tidak menepati sasaran selepas pemain Vietnam melakukan kesilapan membuat hantaran ke kawasan penalti sendiri pada minit ke-33.

Sekiranya Luqman berjaya menggunakan peluang terbaik itu dengan meletakkan bola ke dalam jaring, ia akan menjadi gol penyamaan buat pasukan kebangsaan selepas Vietnam mendahuui 1-0 hasil jaringan Nguyen Quang Hai pada minit ke-32.

Cheng Hoe bagaimanapun tidak meletakkan kesalahan terhadap Luqman, sebaliknya menjelaskan penyerang berusia 19 tahun itu perlu bekerja lebih keras untuk berada pada tahap lebih baik.

"Ini kali pertama Luqman Hakim Shamsudin beraksi dalam perlawanan peringkat tinggi. Dia mempunyai bakat dan masa depan yang baik, jadi saya tidak menyalahkannya kerana terlepas peluang.

"Dia hanya perlu bekerja lebih keras untuk mencapai tahap yang dia mahukan. Dia perlu mengekalkan motivasinya dan dengan sokongan pasukan, dia akan menjadi penyerang yang lebih baik," katanya.

Aksi serba tidak menjadi skuad Harimau Malaya pada perlawanan ketiga Kumpulan B saingan Piala Suzuki AFF 2020 itu menyaksikan anak buah Cheng Hoe menerima kekalahan 0-3 di tangan skuad Naga Emas.

Keputusan itu menyebabkan skuad negara jatuh ke tangga ketiga kumpulan, berkongsi enam mata bersama dua pasukan teratas Indonesia dan Vietnam yang masih kekurangan satu perlawanan.

Skuad Harimau Malaya akan mengharungi aksi terakhir kumpulan berdepan Indonesia pada 19 Disember ini dan ia akan menentukan nasib anak buah Cheng Hoe ke separuh akhir.

Berita Harian X