Jumaat, 10 Disember 2021 | 8:30pm
Pemain skuad Harimau Malaya meraikan jaringan Safawi Rasid (dua kiri) pada aksi Piala Suzuki AFF 2020 menentang Laos di Stadium Bishan, Singapura semalam. Malaysia menang 4-0. - Foto ihsan Facebook FAM.
Pemain skuad Harimau Malaya meraikan jaringan Safawi Rasid (dua kiri) pada aksi Piala Suzuki AFF 2020 menentang Laos di Stadium Bishan, Singapura semalam. Malaysia menang 4-0. - Foto ihsan Facebook FAM.

'Doakan kami dihindari COVID-19'

KUALA LUMPUR: Doa daripada seluruh rakyat Malaysia sangat diharapkan ketika ini supaya tiada lagi jangkitan COVID-19 dalam skuad Harimau Malaya yang sedang beraksi dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Ketika ini empat pemain pasukan kebangsaan disahkan positif pandemik itu dan sekiranya jangkitan terus berlaku, ia tidak mustahil situasi lebih buruk boleh terjadi dengan situasi paling tidak diingini adalah mereka terpaksa menarik diri dari kejohanan itu.

Walaupun gembira dengan dua kemenangan berturut-turut yang diraih ke atas Kemboja dan Laos, ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe tetap tidak dapat mengelak dari kebimbangan 'serangan' COVID-19 dalam skuad Harimau Malaya.

"Itulah cabaran yang kita terpaksa lalui. Setiap hari kena buat ujian calitan untuk pastikan semua dalam keadaan baik kerana jangkitan COIVID-19 ini kita tidak tahu dari mana ia datang.

"Sudah pasti kita masih mengharapkan keadaan terbaik dan terkawal supaya tiada lagi jangkitan selepas ini. Benda ini kita tak boleh elak, kita masih dalam gelembung latihan dan perlawanan.

"Kalau kita lihat (kemenangan) dua perlawanan lepas sudah tentu sedikit sebanyak meletakkan pemain dalam keadaan terbaik dan memang kemungkinan dari sesetengah pemain ada yang risau.

"Tapi melihat cara mereka bermain, berlatih, suasana dalam dan luar padang cukup baik. Kita harap suasana itu dapat mengatasi segala cabaran di depan mata kita dan kita sentiasa berdoa supaya pasukan berada dalam keadaan terbaik," katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Penjaga gol, Khairulazhan Khalid, Faisal Halim, Akhyar Rashid dan Quentin Cheng antara empat pemain yang disahkan positif dan sedang menjalani pengasingan diri serta berada di bawah pemantauan.

Ia sekali gus menyaksikan hanya tinggal 19 pemain dalam skuad Cheng Hoe ketika ini dengan skuad Harimau Malaya perlu mengharungi perlawanan sukar berdepan juara bertahan Vietnam, Ahad ini.

Mengulas lanjut, Cheng Hoe menjelaskan semua pemain perlu bersedia sekiranya ada di antara mereka terpaksa diletakkan beraksi di bahagian berbeza dari posisi sebenar.

"Kita yakin semua pemain ada motivasi yang terbaik untuk mengisi kekosongan dan setiap pemain kena bersedia menghadapai cabaran kali ini, ia memang cukup mencabar.

"Memang kita ada buat rayuan untuk ganti pemain (yang positif COVID-19) tapi kita juga perlu menghormati polisi yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya.

Berita Harian X