Jumaat, 26 November 2021 | 3:49pm
Akmal dan pasangannya selamat mendarat di Wisma MUSA selepas diijabkabul di Sungai Siput, Perak.
Akmal dan pasangannya selamat mendarat di Wisma MUSA selepas diijabkabul di Sungai Siput, Perak.

Pemain Melaka naik helikopter untuk aksi separuh akhir

KUALA LUMPUR: Pemain Pertahanan Melaka United, Akmal Md Zahir terpaksa diterbangkan menggunakan helikopter dari Sungai Siput, Perak ke Melaka bagi menghadapi aksi separuh akhir Piala Malaysia, malam ini.

Melaka United akan berdepan KL City di Stadium Hang Jebat, malam ini dengan kedua-dua pasukan itu terikat 1-1 pada aksi pertama di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Menerusi perkongsian di Facebook Melaka United FC, Akmal dan pasangannya selamat mendarat di Padang 10 Wisma MUSA, Kompleks Sukan Hang Jebat sekitar jam 2.50 petang tadi menaiki helikopter dari Sungai Siput, Perak selepas mereka diijabkabul.

"Penerbangan ini bagi memastikan Akmal dapat kembali ke pangkuan pasukan menjelang aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2021 menentang KL City FC di Stadium Hang Jebat, malam ini," kata Melaka United FC.

Melaka United yang kini berkelebihan dari segi jaringan tempat lawan mempunyai peluang terbaik untuk menamatkan penantian 100 tahun beraksi di pentas akhir Piala Malaysia buat kali pertama.

Sementara itu, ketua jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan mengesahkan pemain tengahnya, S Kumaahran terpaksa diketepikan dalam aksi separuh akhir kedua, malam ini susulan masalah kecederaan.

Kecederaan hamstring yang dialami Kumaahran ketika bertemu KL City pada Isnin lalu masih membelenggu dirinya dan satu pertukaran bakal dibuat oleh Zainal untuk aksi penentuan ke final.

Berita Harian X