Khamis, 25 November 2021 | 6:43pm
Penyokong yang hadir ketika aksi TFC menentang JDT didapati gagal patuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dengan sempurna.
Penyokong yang hadir ketika aksi TFC menentang JDT didapati gagal patuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka dengan sempurna.

MFL, TFC kena kompaun RM10,000

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Terengganu FC (TFC) dikompaun RM10,000 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia, Isnin lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan pihaknya menerima kunjungan daripada wakil Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Petaling, Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Daerah Kuala Nerus dan Pegawai Kesihatan Persekitaran di ibu pejabat MFL di Kelana Jaya, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima makluman daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) yang menjalankan siasatan lanjut berkaitan pelanggaran SOP dan mendapati pasukan tuan rumah, TFC sudah mengambil langkah antaranya mengehadkan bilangan penonton seramai 20,000 (42.6 peratus) daripada kapasiti sebenar venue sebanyak 47,500.

Bagaimanapun, katanya, JKNT mendapati TFC selaku penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton terutama berkaitan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna ketika perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Satu notis tawaran kompaun sudah dikeluarkan kepada Terengganu Football Club Sdn Bhd dan MFL masing-masing dengan nilai RM10,000.

"MFL dan rakan kongsi liga akan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada KKM di mana pelaksanaan pematuhan SOP ini adalah sangat penting dalam usaha mengekang rantaian pandemik COVID-19.

"Bagaimanapun MFL selaku penganjur sangat kesal kerana beberapa insiden pelanggaran pematuhan SOP berlaku dalam kempen Piala Malaysia 2021 di mana kita seharusnya lebih peka terhadap kenaikan kes pesakit COVID-19 yang semakin meningkat dan saya berharap perkara seperti ini tidak akan kembali berulang di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan sama, Stuart tidak menolak kemungkinan pelanggaran pematuhan SOP daripada kalangan penyokong bakal memberikan impak buruk kepada aksi final Piala Malaysia 2021 yang bakal berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Selasa ini.

Katanya, kebimbangan MFL adalah pihak kerajaan yang sentiasa berusaha keras untuk mengawal penularan COVID-19 boleh menarik balik syarat kemasukan penonton untuk aksi final akan datang.

"Suka atau tidak, kita harus bersikap lebih matang dalam norma baharu kehidupan kita yang diancam virus COVID-19.

"Jika perkara pelanggaran SOP masih berlaku di masa akan datang, MFL bimbang kemasukan penonton untuk aksi final TM Piala Malaysia dan saingan Liga Malaysia musim depan akan ditarik balik.

"Jadi, saya berharap penyokong memiliki sentimen sayangkan bola sepak negara dan sentiasa mengikut peraturan atau pematuhan SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan," katanya.

Berita Harian X