Khamis, 25 November 2021 | 11:40am

Mural gergasi Solskjaer turut 'dipecat' United

MANCHESTER: Manchester United memberi isyarat permulaan era baharu dengan menurunkan mural gergasi bekas pengendalinya Ole Gunnar Solskjaer.

Tiga pekerja dirakam menanggalkan imej legenda kelab berusia 48 tahun itu dari bahagian tempat duduk Sir Matt Busby di Old Trafford.

Ia dilakukan ketika lembaga pengarah kelab memulakan proses melantik pengendali sementara menggantikan bekas pemain Norway itu.

United memecat Solskjaer selepas kekalahan 4-1 di tangan Watford, dengan Michael Carrick mengambil alih pasukan sehingga pengendali sementara dilantik.

Carrick memenangi perlawanan pertamanya ketika United menewaskan Villarreal Selasa lalu bagi mengesahkan kemaraan kelab ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Eropah.

Pengendali Paris Saint-Germain Mauricio Pochettino adalah sasaran utama United tetapi bekas pengendali Spurs itu enggan mengulas berkenaan spekulasi berkenaan ketika dia berada di Manchester untuk perlawanan menentang Manchester City.

United menyenaraikan lima individu untuk jawatan berkenaan termasuk bekas bos Barcelona Ernesto Valverde, bekas pengendali RB Leipzig Ralf Rangnick, Lucien Favre dan Rudi Garcia, yang membawa Lyon ke separuh akhir Liga Juara-Juara 2020.

Bekas pengendali Roma Paulo Fonseca turut berada dalam radar United. - AGENSI

Berita Harian X