Selasa, 23 November 2021 | 4:33pm
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Danial Saad.
Gambar fail - Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam. - Foto NSTP/Danial Saad.

Hanya 20,000 tiket dijual aksi final Piala Malaysia

KUALA LUMPUR: Susulan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), hanya sebanyak 20,000 tiket akan dijual bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Selasa ini.

Perkembangan itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam yang menjelaskan jumlah jualan tiket itu diputuskan mengikut kapasiti penonton yang dibenarkan MKN.

"Namun MFL sudah mengemukakan permohonan kepada MKN agar jumlah itu dapat ditambah. MFL juga sudah memohon untuk penonton dibenarkan makan dan minum di dalam stadium.

"Kami berharap permohonan itu akan mendapat pertimbangan sebaiknya daripada pihak MKN," katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Stuart turut mengesahkan empat jenis tiket akan dijual untuk perlawanan akhir itu bermula serendah RM50 sehinggalah tertinggi iaitu RM150.

Katanya, tiket dikelaskan mengikut empat tier bermula Kemasukan Umum (RM50 dan RM70), Kemasukan Umum Premium (RM80) dan Grandstand Premium (RM150).

"MFL sudah menetapkan harga tiket bagi perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 adalah sama seperti harga tiket pada 2019. MFL terpaksa menanggung peningkatan kos penganjuran tahun ini.

"Dengan tiket hanya diperuntukkan sebanyak 20,000 tempat duduk, MFL masih mengekalkan harga tiket walaupun dengan jualan kuantiti tiket yang agak terhad," katanya.

Ketika ini, empat pasukan sedang berentap untuk merebut slot ke pentas akhir Piala Malaysia iaitu juara bertahan, Johor Darul Ta'zim (JDT), Terengganu FC (TFC), KL City FC dan Melaka United FC.

Berita Harian X