Isnin, 22 November 2021 | 6:32pm
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto ihsan Facebook Kedah Darul Aman FC
Pengendali Kedah, Aidil Sharin Sahak. - Foto ihsan Facebook Kedah Darul Aman FC

Kedah teruskan khidmat Aidil Sharin

ALOR SETAR: Aidil Sharin Sahak akan terus diberi mandat untuk membimbing Kedah Darul Aman FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan selepas mencatat rekod cemerlang sepanjang tiga tahun membimbing skuad Lang Merah.

Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata khidmat jurulatih kelahiran Singapura itu sememangnya ditagih dan pihaknya sudah menawarkan penyambungan kontrak bagi menghadapi musim 2022.

"InsyaAllah dia akan bersama kita. Dan kita telah pun menyatakan hasrat mahu mengikat beliau untuk musim depan sebelum ini, dan kita hanya menunggu kata putus dari beliau.

"Memang khidmat beliau masih diperlukan bagi meneruskan perjuangan pasukan Kedah yang bakal melalui saingan lebih sengit pada musim depan.

"Kami perlukan sedikit masa lagi untuk mengumumkan kedudukan yang dirancang itu dan pada masa ini semua perancangan untuk musim depan lebih 80 peratus peratus sudah dilengkapkan," katanya.

Menyentuh mengenai tenaga import bagi memperkukuh Kedah musim depan, Khamal berkata kekuatan di bahagian tengah bakal diisi oleh dua pemain yang sudah berpengalaman dalam Liga M.

"Dua pemain import yang dikenali ramai itu menunjukkan kemampuan masing-masing dengan cukup hebat dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia setakat ini. Kita yakin mereka dapat membentuk penguasaan yang lebih baik berbanding musim 2021 ini," katanya

"Kita mahu pastikan dua import di bahagian tengah yang akan dibawa masuk ini akan melancarkan lagi gerakan serangan lebih padu untuk saingan Liga M dan Piala AFC untuk musim depan,".

Berita Harian X