Isnin, 22 November 2021 | 6:15pm
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2-23 di Manama, Bahrain, semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2-23 di Manama, Bahrain, semalam. - Foto ihsan Facebook FAM.

AFC puas hati persiapan Piala Dunia 2022

KUALA LUMPUR: Meskipun berbaki setahun lagi sebelum sepak mula Piala Dunia 2022 di Qatar, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berpuas hati dengan persiapan yang disifatkan sebagai sempurna menjelang edisi kedua kejohanan berprestij itu dianjurkan di benua Asia.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif AFC, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, badan induk bola sepak Asia itu optimis kejohanan yang akan bermula 21 November 2022 nanti akan mencapai kejayaan.

"Qatar sudah sedia dari semua sudut, khususnya venue perlawanan yang siap sepenuhnya. Persiapan Qatar layak dipuji kerana segala-galanya sudah siap setahun awal," kata Hamidin.

Hamidin yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif AFC kelapan bagi penggal 2019-2023 di Manama, Bahrain, semalam.

Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden AFC, Shaikh Salman Ibrahim Al Khalifa dan turut hadir, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John.

Semalam bermulalah kira detik setahun menjelang sepak mula di Qatar, edisi kedua Piala Dunia FIFA dianjurkan di benua Asia selepas Korea Selatan dan Jepun pada 2002.

Selain itu, Hamidin berkata mesyuarat terbabit turut membincangkan komitmen AFC dalam menyokong ahli gabungannya bangkit membangunkan semula industri bola sepak seluruh benua, khususnya bagi meringankan beban negara anggota menghidupkan peringkat belia dan pembangunan akar umbi.

"Mesyuarat turut membincangkan pembangunan teknikal, pengadil dan sudut komersial selain perkembangan terkini mengenai Piala Asia 2023 di China.

"AFC juga memberi tumpuan memperkasakan struktur pembangunan belia dengan menekankan kategori bawah 20 dan bawah 17 tahun," katanya.

Berita Harian X