Ahad, 21 November 2021 | 7:28am
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar ketika perlawanan menentang Watford di Stadium Vicarage Road dekat Watford. - AFP
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar ketika perlawanan menentang Watford di Stadium Vicarage Road dekat Watford. - AFP

Watford boleh beri pukulan penamat buat Solskjaer

WATFORD, United Kingdom: Tugas Ole Gunnar Solskjaer semakin menghampiri penghujung selepas Manchester United yang bermain 10 orang kalah "memalukan" 4-1 di tangan Watford malam tadi dengan bos kelab dilaporkan mengadakan mesyuarat tergempar.

United mengalami kekalahan kelima dalam tujuh perlawanan Liga Perdana yang menyebabkan mereka ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Chelsea dan tidak berupaya mengejar gelaran selepas hanya 12 perlawanan.

Kekalahan berdepan Liverpool dan Manchester City meningkatkan tekanan terhadap Solskjaer tetapi apa yang berlaku di Vicarage Road boleh menjadi penamat kepada nasib pengendali berusia 48 tahun itu.

Skuad kendalian Claudio Ranieri, Watford mendahului 2-0 selepas mendominasi babak pertama hasil jaringan Joshua King dan Ismaila Sarr.

United merapatkan jaringan selepas babak pertama menerusi pemain gantian Donny van de Beek tetapi tugas mereka menjadi lebih sukar apabila Harry Maguire dibuang padang berbaki 20 minit permainan.

Pemain gantian Joao Pedro menamatkan terus harapan United dengan gol ketiga manakala gol Emmanuel Dennis menambah derita buat Solskjaer.

Penyerang Watford berasal dari Brazil, Joao Pedro (tengah) merembat ke arah gawang Manchester United, pada aksi perlawanan awal pagi tadi. - Foto AFP
Penyerang Watford berasal dari Brazil, Joao Pedro (tengah) merembat ke arah gawang Manchester United, pada aksi perlawanan awal pagi tadi. - Foto AFP

Bos United itu berkata dia masih percaya dengan kemampuannya menukar keadaan sambil memohon maaf kepada penyokong.

"Saya merasai apa yang dirasai penyokong, saya merasakan perkara sama," katanya kepada Sky Sports.

"Kami tahu kami melalui perlawanan yang buruk dan berada dalam situsai teruk, tetapi itulah bola sepak dan saya menyokong sesiapa sahaja di dalam padang setiap hari dan kadangkala anda perlu berkata 'maaf'."

Solskjaer berkata, kehadiran Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphael Varane meningkatkan jangkaan di Old Trafford, tetapi kelab mengundur dengan pantas selepas berkedudukan kedua tahun lalu.

Penjaga gol, David de Gea nyata lebih kecewa melihat persembahan buruk United.

"Sukar melihat cara pasukan bermain hari ini – ia mimpi ngeri selepas mimpi ngeri," katanya. "Ia tidak boleh diterima.

"Kami cuba memberikan yang terbaik dan bertarung buat pasukan, tapi yang pasti ada yang sangat tidak betul. Anda boleh melihatnya dalam perlawanan – iia tahap yang sangat rendah, sangat teruk. Mohon maaf buat penyokong, sekali lagi." - AFP

Berita Harian X