Isnin, 15 November 2021 | 1:01pm
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/GHAZALI KORI
Pemain Terengganu FC meraikan jaringan pada perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Sarawak United di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. - NSTP/GHAZALI KORI

Bukan bekalan selesa buat TFC

KUALA TERENGGANU: Pengendali Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain bersyukur selepas usaha keras anak buahnya mendatangkan hasil selepas menang 2-1 pada aksi suku akhir pertama saingan Piala Malaysia menentang Sarawak United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun tanpa berselindung, jurulatih muda meningkat naik itu mengakui satu gol yang memisahkan pasukannya dengan skuad Kenyalang Emas bimbingan E Elavarasan itu bukanlah kedudukan yang selesa malah berliku.

Katanya, peluang buat kedua-dua pasukan untuk menempah tiket ke peringkat separuh akhir edisi ke-100 itu masih terbuka luas, namun beliau mengharapkan anak buahnya mengambil peluang sebaik mungkin untuk memburu posisi itu.

"Apa yang saya jangkakan sebelum perlawanan memang betul terjadi berkaitan situasi bertahan dan corak menyerang pasukan lawan selain masalah yang kita hadapi.

"Tapi saya tetap bersyukur dengan aksi serta kerja keras semua pemain yang banyak mencipta peluang walaupun hanya dua jaringan terhasil, saya juga gembira apabila pemain baharu diturunkan beraksi dengan baik, ini sudah pasti bagus buat mereka dan pasukan.

"Namun kemenangan tipis itu bukanlah bekalan selesa kepada kami, tapi mereka dah cuba yang terbaik untuk menambah jaringan.

"Ketiadaan Habib Haroon yang terpaksa dikeluarkan pada pertengahan babak pertama tidak menjejaskan rentak pasukan, momentum pasukan tetap sama, sayapun gembira dengan prestasi penggantinya, Zuasrayraf Zulkiefle.

"Kecekapan penjaga gol lawan, Mohd Sharbinee Allawee Ramli antara sebab banyak percubaan daripada pemain gagal menerjah jaring gol, tapi peluang masih terbuka dan kami akan buat yang terbaik di Shah Alam, Khamis ini pada aksi suku akhir kedua," katanya.

Ketika ditanya jaringan sendiri Shahrul Nizam, Nafuzi mengakui jaringan itu bukanlah gol nasib tapi kesilapan pemain pertahanan itu yang sedikit leka.

"Gol penyamaan Sarawak bukan nasib, tapi itu kesilapan pemain sebab tidak halang pemain lawan dan ia tidak sepatutnya berlaku, namun saya faham situasi perlawanan berintensiti tinggi, jadi itu normal dalam pasukan, saya tetap yakin dengan pemain saya sambil mengharapkan perkara itu tidak berulang lagi," katanya.

Berita Harian X