Rabu, 15 September 2021 | 9:11am
Reaksi kecewa bintang Manchester, Cristiano Ronaldo (kiri) tatkala pemain Young Boys meraikan kejayaan menyamakan kedudukan 1-1 pada aksi Liga Juara-Juara saingan Kumpulan F di Stadium Wankdorf, Bern, Switzerland. United tewas 1-2. - Foto EPA.
Reaksi kecewa bintang Manchester, Cristiano Ronaldo (kiri) tatkala pemain Young Boys meraikan kejayaan menyamakan kedudukan 1-1 pada aksi Liga Juara-Juara saingan Kumpulan F di Stadium Wankdorf, Bern, Switzerland. United tewas 1-2. - Foto EPA.

Solskjaer beri amaran kepada Red Devils

LONDON: Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran betapa Manchester United perlu belajar daripada kesilapan di Eropah sekiranya tidak mahu sekali lagi tersingkir awal dalam saingan Liga Juara-Juara.

Kekalahan mengejut di tangan Young Boys 1-2 di Bern, Switzerland, mengulangi skrip kekalahan 1-2 kepada Basaksehir di Istandbul, November lalu yang menjadi permulaan terhadap pengakhiran kempen United dalam saingan kumpulan apabila mereka terpaksa beraksi dalam Liga Europa.

Skuad bimbingan Solskjaer masih mempunyai banyak masa untuk kembali bangkit dalam baki lima perlawanan Kumpulan F tetapi pengurus itu mahu pemainnya tampil dengan disiplin lebih tinggi selepas United dihukum susulan kad merah yang dilayangkan ke atas Aaron Wan-Bissaka dan kesilapan dilakukan Jesse Lingard pada minit akhir permainan.

"Secara amnya, disiplin adalah penting dalam bola sepak, bukan hanya Liga Juara-Juara," kata Solskjaer.

"Kurang fokus, anda buat kesilapan dan anda akan dihukum. Kami melakukannya tahun lalu, melepaskan dua gol menerusi serangan balas ketika menentang Basaksehir dan tewas perlawanan itu.

"Jadi, kami tahu kami membuatkan tugas kami lebih sukar. Tahun lalu semua orang beranggapan kami akan mara selepas mengharungi dua perlawanan.

"Anda perlu 10 atau 12 mata, menang dalam perlawanan di tempat sendiri dan satu di tempat lawan. Kami terlepas peluang meraih tiga mata, tetapi kami ada dua perlawanan di tempat sendiri dan perlu fokus dua perlawanan itu," kata Solskjaer.

Susulan kad merah yang dilayangkan ke atas Wan-Bissaka, Solskjaer, berkata: "Saya boleh faham mengapa dia memberikannya. Aaron adalah salah seorang pemain terbaik di dunia dalam melakukan terjahan bersih tetapi dia ada melakuan sentuhan," katanya.

Mengulas mengenai kesilapan dilakukan Lingard, Solskjaer, berkata: "Jesse mahu bermain dengan selamat dan silap melakukan hantaran. Ia berlaku dalam bola sepak."

- AGENSI

Berita Harian X