Selasa, 24 Ogos 2021 | 5:02pm
Chin Ann dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.
Chin Ann dianugerahkan Darjah Cemerlang Seri Melaka oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

Chin Ann kini bergelar Datuk Wira

MELAKA: Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann menyifatkan penganugerahan Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira kepadanya sempena Sambutan Hari Jadi ke-72 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam hari ini sebagai anugerah kepada semua penggiat sukan.

Selain Chin Ann, pemain badminton negara, Aaron Chia yang memenangi pingat gangsa di Olimpik Tokyo 2020 dan Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah turut dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka.

Chin Ann berkata, anugerah terbabit seharusnya satu penghormatan kepada penggiat sukan dan beliau berterima kasih atas penganugerahan yang diberikan.

"Atlet harus terus bekerja keras dalam lapangan masing-masing bagi meraih pencapaian terbaik atas perjuangan sejati mengharumkan nama negara.

"Biasanya anugerah dan penghormatan akan hadir selepas pencapaian direkodkan dan apa yang utama atlet perlu terus berusaha gigih untuk mencatat kecemerlangan tanpa memikirkan sebarang bentuk ganjaran.

"Pelbagai insentif yang disediakan kepada atlet termasuk mereka yang mencapai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa mampu menjadi motivasi tinggi untuk mereka berjuang habis-habisan," katanya.

Bekas kapten skuad kebangsaan itu sebelum ini disenaraikan dalam Kelab Abad Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas anak jati Alor Gajah itu menjadi pemain yang memiliki kap antarabangsa terbanyak dengan mencatat 195 penampilan sepanjang 15 tahun menyarung jersi kebangsaan.

Rekod itu berjaya mengatasi catatan Bader Al Mutawa dari Kuwait yang mengumpul 185 kap, disusuli Ahmed Hassan dari Mesir (184 kap) dan Ahmed Mubarak dari Oman (180 kap).

Antara sentuhan Chin Ann yang masih diingati ialah kejayaannya membantu skuad negara layak ke temasya Olimpik pada 1972 dan 1980, walaupun negara menarik diri dari temasya 1980.

Sementara itu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) malam tadi, memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka akan berlangsung selepas negeri itu memasuki ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, faktor keselamatan dan kesihatan umum juga diambil kira sebagai faktor penangguhan istiadat itu demi melindungi nyawa rakyat dan mengelakkan krisis kesihatan.

Berita Harian X