Rabu, 4 Ogos 2021 | 6:57pm
Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar
Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann. - Foto NSTP/Nazri Abu Bakar

Chin Ann bangga dapat berbakti untuk negara

MELAKA: Legenda bola sepak negara Datuk Soh Chin Ann menganggap sentuhannya bersama pasukan kebangsaan sepanjang lebih 15 tahun sebagai sumbangan dan baktinya kepada negara.

Dia yang dinobatkan sebagai ahli terbaru Kelab Abad FIFA, disahkan sebagai pemilik kap antarabangsa terbanyak dengan 195 kap sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Baginya, pengesahan itu adalah kenangan terindah sebagai pemain termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh yang juga anggota terbaru dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi Fifa dengan kerjasama RSSSF.

Terdahulu tiga legenda, Datuk Abdul Shukor Salleh (163 kap), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 kap) dan mendiang Datuk R Arumugam (131 kap) diberi pengiktirafan menganggotai Kelab Abad Fifa.

Katanya, pelbagai pengalaman pahit manis dikutip dalam menempuh perjalanan panjang sebagai pemain dengan kemudahan yang terhad, namun semangat yang tinggi membolehkan dia mampu membawa Malaysia layak ke Olimpik pada tahun 1972 dan 1980.

Menurutnya, walaupun negara menarik diri menyertai Olimpik 1980 Moscow, dia sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada pasukan sepanjang mewakili pasukan kebangsaan sehingga bersara.

Malah ketika berusia 23 tahun dia membarisi skuad lebih senior bersama deretan bintang legenda bola sepak Harimau Malaya di Munich bersama Datuk M Chandran, Shaharudin Abdullah, Rahim Abdullah, Zawawi Yusof, Namat Abdullah, Kam Fook Wong dan Saleh Ibrahim.

"Apapun pengiktirafan terbabit sebenarnya untuk penggiat sukan berkenaan serta generasi bola sepak negara dan akar umbi masa depan yang bakal terus dibentuk.

"Semoga ianya menjadi dorongan semangat kepada mereka untuk membawa Malaysia ke mercu antarabangsa. Paling tidak mereka boleh meletakkan skuad negara beraksi di Olimpik selepas ini," kata Chin Ann.

Chin Ann yang berasal dari Alor Gajah, Melaka merasakan jumlah dia beraksi bersama pasukan negara lebih daripada itu, namun FIFA mempunyai perkiraannya tersendiri.

Malah dia mengulangi pendirian saiz, fizikal, latihan dan teknikal bola sepak adalah sama berikutan itu tiada sebab kita tidak mampu layak sekali lagi ke Olimpik atau beraksi di Piala Dunia, walaupun jangka masa terbabit belum dapat dipastikan.

Walaupun pembabitan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 penampilan, FIFA mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Jumlah penampilan itu mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 kap, disusuli Bader Al Mutawa (181) dari Kuwait dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan penampilan terbanyak ialah Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 kap sehingga Mac 2021.

Berita Harian X