Selasa, 3 Ogos 2021 | 9:46pm
Senarai legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA.
Senarai legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA.

Legenda Soh Chin Ann nombor satu dunia

KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann dinobatkan sebagai pemain dengan penampilan antarabangsa terbanyak oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila menghimpun 195 kap sepanjang 15 tahun menyarung jersi Malaysia.

Perkembangan itu disahkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang turut mengumumkan tiga lagi legenda negara diisytiharkan sebagai ahli terbaru Kelab Abad FIFA menerusi kemas kini yang dilakukan untuk keanggotaan kelab terbabit.

Selain Cin Ann, Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh adalah adalah anggota terbaru dari Malaysia yang menyertai senarai berprestij itu berasaskan statistik rasmi FIFA dengan kerjasama RSSSF.

Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann dicatat oleh FAM sebagai 252 penampilan, FIFA mengiktiraf 195 perlawanan Kategori A yang membabitkan anak jati Melaka itu.

Namun, jumlah penampilan itu mengatasi rekod Ahmed Hassan dari Mesir yang mengumpul 184 kap, disusuli Bader Al Mutawa (181) dari Kuwait dan Ahmed Mubarak dari Oman (180).

Satu-satunya pemain masih aktif yang berada dalam kelompok 10 pemain dengan penampilan terbanyak ialah Cristiano Ronaldo yang mengumpul 173 kap sehingga Mac 2021.

Sebelum itu, tiga legenda bola sepak negara sudahpun berada dalam kelab terbabit iaitu Datuk Abdul Shukor Salleh (163 penampilan ), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138 penampilan) dan mendiang Datuk R Arumugam (131 penampilan).

Sebagai rekod, Chin Ann mula mewakili negara di Piala Raja Thai 1969 dan menamatkan kerjaya pada pusingan kelayakan Piala Asia 1984 di Kolkata, India.

Chin Ann berkhidmat di bawah beberapa jurulatih, termasuk Peter Velappan, Dave Maclaren, Jalil Che Din, Abdul Ghani Minhat, M. Chandran, M. Kuppan, Chow Kwai Lam, Mohamad Bakar, Mohamed Che Su, Karl Weigang dan Frank Lord.

Chin Ann juga mencatat rekod mewakili negara di Sukan Olimpik 1972, mengutip pingat gangsa Sukan Asia 1974 serta penampilan di pusingan akhir Piala Asia 1980 di Kuwait.

SENARAI 7 PEMAIN DENGAN KAP TERTINGGI HARIMAU MALAYA YANG DIIKTIRAF DALAM KELAB ABAD FIFA

1. Datuk Soh Chin Ann - 195 kap
2. Datuk Abdul Shukor Salleh - 163 kap
3. Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari - 138 kap
4. Mendiang Datuk R Arumugam - 131 kap
5. Zainal Abidin Hassan - 116 kap
6. Mendiang Datuk M. Chandran - 115 kap
7. Datuk Santokh Singh - 100 kap

Berita Harian X