Khamis, 8 April 2021 | 11:16am
 Pemain import JDT II, Fernando Rodriguez (dua dari kiri) pada aksi Liga Perdana menentang PDRM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. JDT II menang 1-0. - Foto Ihsan Facebook Johor Southern Tigers.
Pemain import JDT II, Fernando Rodriguez (dua dari kiri) pada aksi Liga Perdana menentang PDRM FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam tadi. JDT II menang 1-0. - Foto Ihsan Facebook Johor Southern Tigers.

PDRM FC rancang ambil beberapa pemain baharu

JOHOR BAHRU: PDRM FC yang kini menghuni kedua tangga tercorot Liga Perdana selepas tujuh perlawanan, merancang membawa beberapa pemain baharu dalam usaha memperkuat pasukan itu bagi terus kekal pada musim depan.

Perkembangan itu disahkan penolong ketua jurulatih, Eddy Gapil selepas skuad The Cops tewas 0-1 kepada Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada aksi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini, malam tadi.

"Kemungkinan besar kami akan bawa masuk beberapa pemain termasuk pemain import. Apapun, saya tidak dapat beri informasi lebih lanjut pemain import mana yang akan di bawa masuk tapi ia terarah kepada pemain serangan.

"Semuanya bergantung kepada keputusan pihak pengurusan kelab dan mereka juga tidak mahu melakukan pembaziran kerana menjaga bajet pada musim ini," katanya. Selepas tujuh aksi, PDRM FC mengumpulkan empat mata menerusi satu kemenangan dan seri.

Mengulas kekalahan 0-1 kepada JDT II, Eddy menegaskan kelemahan ketara dalam barisan pemainnya adalah sukar untuk bangkit selepas ketinggalan dan terpaksa bergelut untuk mencari momentum permainan yang konsisten.

"Kita cipta peluang tapi tidak mampu jaringkan gol. Malah bila pasukan lawan jaringkan gol, pemain tampak sukar bangkit dan sering hilang bola yang memudahkan pemain lawan mematahkan serangan.

"Pemain bergelut untuk kembali konsisten dan itu masalah yang kami hadapi. Saya juga tidak berpuas hati dengan kualiti permainan Alexander (Amponsah) yang sepatutnya memain peranan penting di posisi tengah, sebab itu saya keluarkan dia," katanya.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Gil Sanchez berpuas hati dengan kemenangan dalam perlawanan itu biarpun sekadar menang tipis dan mengakui barisan pemain tampak keletihan selepas mengharungi jadual yang padat.

Berita Harian X