Khamis, 4 March 2021 | 11:03pm
Petrus Shitembi terpaksa berehat panjang berikutan mengalami kecederaan serius.
Petrus Shitembi terpaksa berehat panjang berikutan mengalami kecederaan serius.

TFC terpaksa lupakan khidmat Shitembi

KUALA TERENGGANU: Belumpun saingan Liga Super membuka tirainya, Terengganu FC (TFC) menerima khabar duka apabila pemain importnya, Petrus Shitembi terpaksa berehat panjang berikutan kecederaan serius yang dialami.

Berita buruk itu sudah pasti memeningkan kepala barisan pengurusan skuad Penyu itu lebih-lebih lagi jendela pendaftaran pemain akan berakhir esok jika mahu mengambil pemain baharu.

Pengurus TFC, Zulfadli Rozi bagaimanapun enggan menekan butang panik biarpun tidak dapat menurunkan pemain itu kerana masih mempunyai pilihan termasuk meminjam pemain daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II).

"Shetembi mengalami kecederaan ketika aksi pemanas badan sebelum ini, daripada laporan awal perubatan tahap kecederaan pemain itu agak serius dan kelibatnya mungkin terpaksa dilupakan dalam tempoh yang agak panjang.

"Masa kian suntuk untuk mengikat pemain import lain, lagipun kita tidak mahu mengambil pemain baharu sekadar melengkapkan kuota dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC.

"Tapi pihak pengurusan akan merujuk pandangan daripada pakar perubatan lain sebelum menentukan sama ada pemain kelahiran Namibia itu perlu menjalani pembedahan ataupun sebaliknya.

"Walaupun kita sudah tidak sabar untuk melihat bekas pemain Sabah itu beraksi, tapi kita perlu realistik, lagipun pemain tempatan juga tidak kurang hebatnya dan mampu mengisi posisi tengah milik Shetembi.

"Kita percaya perancangan barisan jurulatih mampu memberikan keceriaan kepada pasukan sebelum berdepan dengan pasukan UiTM di Stadium UiTM Shah Alam pada Sabtu ini ," katanya.

Sementara itu beliau berkata, peluang bekas pertahanan Aston Villa, Christopher Herd untuk membuat penampilan pertama pada Sabtu ini masih belum pasti berikutan kecederaan ringan dialaminya.

"Sama ada pemain itu diturunkan ataupun sebaliknya bergantung kepada jurulatih untuk membuat keputusan, tapi kita juga ada pemain pertahanan TFC II, Argzim Redzovic," katanya yang mengharapkan pemain fokus untuk memburu kemenangan pertama.

Berita Harian X