Isnin, 18 Januari 2021 | 11:06pm
Pneyerang Barcelona, Lionel Messi mengasari penyerang Athletic Bilbao, Asier Villalibre (terbaring) pada aksi final Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi. - AFP
Pneyerang Barcelona, Lionel Messi mengasari penyerang Athletic Bilbao, Asier Villalibre (terbaring) pada aksi final Piala Super Sepanyol, awal pagi tadi. - AFP

Messi mungkin digantung 12 perlawanan

MADRID: Bintang Barcelona, Lionel Messi mungkin digantung 12 perlawanan selepas dilayangkan kad merah pada aksi final Piala Super Sepanyol menentang Athletic Bilbao, awal pagi tadi.

Dan media Sepanyol turut menuntut pemain itu meminta maaf atas kesalahan yang dilakukannya.

Messi diperintah keluar padang selepas dia gagal mengawal emosi sebelum mengasari Asier Villalibre, yang sebelum itu menjaringkan gol penyamaan buat Bilbao pada minit ke-90.

Gol itu mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Bilbao menang 3-2.

Dan akibat insiden kad merah pertama yang diterimanya selepas 753 aksi bersama Barcelona, Messi mungkin digantung 12 perlawanan sekali gus menjejaskan harapan pasukan itu untuk bangkit memburu kejuaraan.

Gergasi Catalan itu kini ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu Atletico Madrid - yang memiliki dua perlawanan di tangan.

Akhbar Marca melaporkan Messi akan digantung pada aksi Copa Del Rey menentang Cornella minggu ini dan pusingan seterusnya Piala Sepanyol.

Jika Barca tewas, Messi mungkin digantung tiga lagi perlawanan La Liga.

Tetapi akhbar itu melaporkan kesalahan serius yang dilakukan Messi itu boleh menyebabkannya digantung 12 perlawanan.

Marca juga menyiarkan artikel menuntut Messi meminta maaf dengan tajuk: "Messi, anda sepatutnya meminta maaf." - AGENSI

Berita Harian X