Rabu, 9 Disember 2020 | 9:19am
BINTANG PSG, Neymar (belakang) bersama rakan sepasukan dan pemain Istanbul Basaksehir serta pegawai perlawanan meninggalkan padang Stadium Parc des Princes di Paris selepas aksi Liga Juara-Juara saingan Kumpulan H itu digantung. - Foto AFP

Isu rasis jejas aksi PSG-Basaksehir

PARIS: Perlawanan Liga Juara-Juara antara Paris Saint-Germain dan Istanbul Basaksehir tertangguh awal pagi tadi dan akan disambung awal pagi esok selepas pemain-pemain keluar padang kerana membantah pegawai perlawanan yang didakwa mengeluarkan kata-kata berunsur perkauman.

Insiden berkenaan tercetus selepas penolong jurulatih Basaksehir Pierre Webo, bekas pemain Cameroon, dilayangkan kad merah kerana pertengkaran di luar padang membabitkan pengadil keempat Sebastian Coltescu.

Perlawanan di Parc des Princes terpaksa dihentikan pada minit ke-14 ketika kedudukan masih 0-0, dan pemain-pemain keluar padang 10 minit kemudian.

REAKSI penolong jurulatih Istanbul Basaksehir, Pierre Achille Webo (kiri) ketika aksi pasukannya menentang PSG dalam saingan terakhir Kumpulan H perlawanan Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes, Paris. - Foto EPA.

PERTAHANAN PSG, Marquinhos (kanan) melepasi pengadil Romania, Ovidiu Hategan (tengah) selepas perlawanan menentang Istanbul Basaksehir FK dalam saingan terakhir Kumpulan H aksi Liga Juara-Juara di Stadium Parc des Princes, Paris digantung. - Foto AFP.

Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) dalam satu kenyataan berjanji akan melakukan siasatan terperinci terhadap insiden berkenaan dan mengesahkan perlawanan akan disambung awal pagi esok dari minit ia terhenti.

Danny Makkelie dari Belanda akan mengadili perlawanan dengan pegawai perlawanan lain dari Belanda dan Poland.

Dalam rakaman televisyen, jelas kedengaran Webo berulang kali bertanya mengapa perkataan berunsur perkauman digunakan untuk merujuk kepadanya.

"Yang berkulit hitam sebelah sana. Ini tidak mungkin. Pergi kenal pasti dia. Lelaki itu, yang berkulit hitam," kata Coltescu merujuk kepada Webo dalam rakaman berkenaan.

Pemain Basaksehir dari Senegal, Demba Ba, turut dirakam berkata: "Apabila anda merujuk kepada orang kulit putih, anda tidak pernah kata 'lelaki kulit putih ini', anda cuma katakan 'lelaki ini', jadi mengapa apabila anda menyebut lelaki kulit hitam anda perlu katakan 'lelaki kulit hitam ini?'"

Insiden berkenaan turut mendapat perhatian Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan yang mahu UEFA mengambil tindakan sewajarnya terhadap perkara itu. - AFP

Berita Harian X