Rabu, 25 November 2020 | 9:59am
Neymar. - Foto AFP
Neymar. - Foto AFP

Penalti Neymar hidup peluang PSG

PARIS: Paris Saint-Germain bertahan dengan penalti awal Neymar untuk menewaskan RB Leipzig 1-0 dan menghidupkan semula peluang mereka dalam kempen Liga Juara-Juara.

Naib juara musim lalu itu tewas dalam dua daripada tiga perlawanan pertama Kumpulan H dan berpotensi tersingkir awal sekiranya tewas kepada kelab Jerman itu di Parc des Princes.

Bagaimanapun penalti minit ke-11 Neymar sudah mencukupi untuk PSG yang bergelut dengan kecederaan dan penggantungan, dengan Leipzig pula gagal memanfaatkan deretan peluang mereka.

"Kami pasukan yang dalam situasi sukar, mampu bersatu dan melakukan tugas dengan baik. Sekali lagi kami membuktikannya," kata kapten PSG Marquinhos.

PSG dan Leipzig mengumpul enam mata dengan dua perlawanan berbaki, manakala Manchester United mendahului kumpulan dengan kelebihan tiga mata selepas menewaskan Istanbul Basaksehir 4-1.

PSG kendalian Thomas Tuchel akan bertandang ke Old Trafford minggu depan manakala Leipzig akan melayan kunjungan Istanbul Basaksehir. - AFP

Berita Harian X