Selasa, 17 November 2020 | 9:12am

Algeria layak ke Piala Negara-Negara Afrika 2021

JOHANNESBURG: Pemain sayap Manchester City, Riyad Mahrez meledak gol bagi membantu Algeria mencatat keputusan seri 2-2 dengan Zimbabwe sekali gus menjadi pasukan ketiga layak ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika 2021.

Cameroon layak secara automatik sebagai tuan rumah dan Senegal mengesahkan tempat selepas melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau menerusi jaringan Sadio Mane, awal pagi semalam.

Andy Delort dan Mahrez meletakkan Algeria di depan sebelum Knowledga Musana merapatkan jurang buat Zimbabwe apabila menjaringkan gol sebelum tamat babak pertama.

Jurulatih Algeria, Djamel Belmadi mengeluarkan Delort dan Mahrez dengan dia membuat lima pertukaran pada babak kedua dalam tempoh 12 minit tetapi tindakan itu membawa padah apabila Prince Dube berjaya menyamakan kedudukan lapan minit sebelum tamat perlawanan.

Keputusan seri itu menyaksikan rekod kemenangan Algeria dalam tiga perlawanan sebelum ini berakhir tetapi berjaya menjamin tempat kelompok dua teratas kumpulan yang turut dibarisi Zambia dan Bostwana. - AFP

Berita Harian X