Isnin, 16 November 2020 | 9:10am
Sadio Mane meledak gol bagi membantu Senegal melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau, awal pagi. - Foto Twitter SenegalFootball
Sadio Mane meledak gol bagi membantu Senegal melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau, awal pagi. - Foto Twitter SenegalFootball

Mane hero Senegal

JOHANNESBURG: Bintang Liverpool, Sadio Mane meledak gol bagi membantu Senegal melakar kemenangan 1-0 ke atas Guinea-Bissau, awal pagi sekali gus menjadi pasukan kedua layak ke pusingan akhir Piala Negara-Negara Afrika, selepas tuan rumah, Cameroon.

Bekas Pemain Terbaik Afrika itu menjaringkan gol pada minit ke-82 minit permainan menentang lawan yang terpaksa beraksi 10 pemain selepas Jorge 'Bura' Nogueira dilayangkan kad merah pada pertengahan babak kedua di Bissau.

Ia lima hari yang cukup bermakna buat Mane yang menjaringkan gol pertama dan mencipta gerakan buat gol kedua ketika Senegal menewaskan Guinea-Bissau 2-0 di Thies dekat Dakar, Rabu lalu.

Dua kemenangan itu membolehkan Senegal yang ketika ini berada di kedudukan teratas pasukan negara Afrika,  mengutip 12 mata maksimum daripada empat perlawanan dalam Kumpulan I dan layak dengan berbaki dua perlawanan lagi.

Senegal akan melengkapkan jadual mereka dengan berkunjung ke Congo pada 22 Mac sebelum melayan kunjungan Eswatini lapan hari kemudian.

Bagaimanapun, pengurus Liverpool, Jurgen Klopp kemungkinan besar meminta untuk Mane direhatkan untuk kedua-dua perlawanan berkenaan. - AFP

Berita Harian X