LIVERPOOL: Jurgen Klopp kagum dengan kemampuan Liverpool menangani "ketidakadilan" ketika juara Liga Perdana Inggeris itu bangkit menewaskan Sheffield United 2-1.
Skuad kendalian Klopp ketinggalan susulan penalti kontroversi Sander Berge pada babak pertama di Anfield, dengan Liverpool kecewa VAR tetap memberikan sepakan penalti walaupun jelas kekasaran berlaku di luar kotak.
Tetapi Roberto Firmino menyamakan kedudukan sebelum rehat dan penyerang Portugal Diogo Jota melengkapkan kebangkitan dengan gol keduanya sejak berpindah dari Wolves pada September.
Selepas kehilangan Virgil van Dijk akibat kecederaan lutut pada aksi tetangga menentang Everton hujung minggu lalu, Liverpool sekali lagi berjaya mengharungi cabaran tanpa bek tengahnya itu.
"Penalti itu langsung bukan satu kesalahan. Dalam semusim terdapat banyak situasi berbeza, kami pernah berdepan ketidakadilan dan kami terpaksa menghadapinya sekali lagi.
"Saya suka permainan ini. Anda perlu bekerja keras. Anda mendapat perlawanan mudah apabila semuanya berpihak kepada anda pada malam seperti ini," kata Klopp. - AFP