Sabtu, 24 Oktober 2020 | 6:47am
Luqman Hakim dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan antara KV Kortrijk dan RSC Anderlecht. - Foto ihsan Facebook KV Kortrijk
Luqman Hakim dimasukkan pada minit ke-73 perlawanan antara KV Kortrijk dan RSC Anderlecht. - Foto ihsan Facebook KV Kortrijk

Luqman lakar sejarah di Belgium

KUALA LUMPUR: Penyerang muda sensasi negara Luqman Hakim Shamsudin akhirnya mencipta sejarah muncul pemain Malaysia pertama membuat penampilan dalam liga utama Belgium, Jupiler Pro League.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu dimasukkan sebagai pemain gantian pada minit ke-74 menggantikan Petar Golubovic ketika pasukannya, KV Kortrijk tewas 3-1 di tangan Anderlecht, awal pagi tadi.

Walaupun hanya beraksi kira-kira 16 minit terakhir, kemasukan Luqman juga dilihat berjaya memberi impak dengan gerakannya membolehkan KV Kortrijk mendapat sepakan penalti pada penghujung perlawanan.

Peluang itu disempurnakan rakan sepasukannya, Ilombe Mboyo untuk meledak gol tunggal KV Kortrijk pada minit ke-86.

Terdahulu Anderlecht yang dibimbing bekas kapten Manchester City, Vincent Kompany selesa mendahului hasil dua jaringan Lukas Nmecha pada minit keenam dan 66 serta satu gol daripada Percy Tau pada minit ke-30.

Sebelum ini, Luqman sudah pernah bersama skuad utama KV Kortrijk dalam aksi persahabatan selain turut mempamerkan aksi yang memberangsangkan bersama skuad bawah 21 tahun kelab itu.

Berita Harian X