Sabtu, 17 Oktober 2020 | 9:48pm
Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin melonjak tinggi menjaringkan gol kedua pasukannya bagi mengikat Liverpool, 2-2 pada aksi EPL di Goodison Park, Liverpool. - Foto AFP
Penyerang Everton, Dominic Calvert-Lewin melonjak tinggi menjaringkan gol kedua pasukannya bagi mengikat Liverpool, 2-2 pada aksi EPL di Goodison Park, Liverpool. - Foto AFP

Everton, Liverpool kongsi mata

LIVERPOOL: Everton bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat seteru tetangga, Liverpool, 2-2 di Goodison Park, di sini, sebentar tadi, sekali gus mengekalkan kedudukan selaku pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL).

Sadio Mane yang tidak beraksi ketika skuad The Reds dimalukan Aston Villa 7-2 membuka jaringan buat pelawat seawal minit ketiga selepas memanfaatkan hantaran Andy Robertson.

Penjaga gol Everton, Jordan Pickford bernasib baik tidak menghadiahkan sepakan penalti dan dilayangkan kad merah selepas mengasari Virgil Van Dijk yang tidak dapat meneruskan perlawanan.

Kehilangan van Dijk membolehkan Everton mengikat kedudukan pada minit ke-20 menerusi tandukan Micheal Keane.

Liverpool kembali mendahului apabila kesilapan Yerry Mina mengeluarkan bola membolehkan Mohamed Salah meledak menerusi voli untuk gol ke-100 bersama Liverpool dalam 159 perlawanan.

Namun Dominic Calvert-Lewin meneruskan prestasi cemerlang apabila melonjak tinggi untuk meledak gol ketujuhnya pada musim ini bagi menjadikan kedudukan 2-2 ketika saingan berbaki sembilan minit.

Hasrat tuan rumah memburu gol kemenangan tersentak apabila Richarlison dilayangkan kad merah susulan terjahan keras ke atas Thiago.

Jordan Henderson seakan menghadiahkan gol kemenangan buat Liverpool pada minit akhir perlawanan namun dibatalkan pengadil bantuan video (VAR) kerana ofsaid.

- AGENSI

Berita Harian X