Ahad, 11 Oktober 2020 | 11:14pm
Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (tengah) diasak pemain Kedah ketika beraksi pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pemain Perak, Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi (tengah) diasak pemain Kedah ketika beraksi pada perlawanan Liga Super di Stadium Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Kedah naib juara Liga Super

IPOH: Satu slot automatik ke Piala AFC 2021 menjadi milik Kedah selepas mereka membenam cabaran Perak 3-2 pada aksi terakhir Liga Super di Stadium Perak, sebentar tadi.

Dipisahkan dengan perbezaan satu mata sebelum perlawanan, skuad Lang Merah yang sekadar memerlukan keputusan seri untuk layak ke Asia berjaya mengutip kemenangan mutlak meskipun ia diraih dengan jalan yang sukar.

Mana tidaknya, mereka selesa mendahului 2-0 selepas setengah jam perlawanan namun mensia-siakan kelebihan dua jaringan itu apabila membenarkan Perak bangkit mengikat kedudukan di penghujung babak pertama.

Skuad bimbingan Mehmet Durakovic bagaimanapun tidak perlu kecewa kerana satu lagi slot ke Piala AFC 2021 masih boleh direbut iaitu menerusi kejuaraan Piala Malaysia.

Pada aksi terbabit, dua gol pantas dalam tempoh tiga minit memastikan kawalan permainan di tangan Kedah apabila mereka mendahului selepas Kpah Sherman menggelecek penjaga gol, Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sebelum menyudahkannya ke gawang kosong pada minit ke-28.

Pemain import Perak, Raianderson Da Costa Morais (kiri) diasak pemain Kedah ketika beraksi perlawanan Liga Super di Stadium Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pemain import Perak, Raianderson Da Costa Morais (kiri) diasak pemain Kedah ketika beraksi perlawanan Liga Super di Stadium Perak. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Pemain Perak, Kenny Pallraj Davaragi (kanan) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah. - NSTP/Sharul Hafiz Zam
Pemain Perak, Kenny Pallraj Davaragi (kanan) diasak pemain Kedah, Muhammad Shakir Hamzah. - NSTP/Sharul Hafiz Zam

Ketinggalan satu gol, Perak dikejutkan dengan gol kedua pelawat selepas hantaran Baddrol Bakhtiar menemui Fadzrul Danel di dalam kotak penalti yang disudahkan dengan satu rembatan deras pada minit ke-31.

Perak jelas tidak mahu memberi laluan mudah buat Kedah apabila Leandro dos Santos menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 sebelum pemain import itu menanduk masuk sepakan percuma Rafiuddin Roddin pada masa tambahan untuk menjadikan kedudukan 2-2.

Bersambung babak kedua, jaringan kemenangan Kedah hadir pada minit ke-63 apabila Renan Alves melonjak tinggi untuk menyudahkan sepakan penjuru yang diambil Baddrol sekali gus menghantar Kedah ke saingan Asia musim depan.

Berita Harian X