Sabtu, 3 Oktober 2020 | 7:07am
Neymar (kanan) diasak pemain Angers Antonin Bobichon ketika aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto AFP
Neymar (kanan) diasak pemain Angers Antonin Bobichon ketika aksi Ligue 1 di Parc des Princes. - Foto AFP

Neymar ledak dua gol belasah Angers

PARIS: Neymar meledak dua gol untuk Paris Saint-Germain dalam kemenangan 6-1 ke atas Angers.

Alessandro Florenzi, Julian Draxler, Idrissa Gana Gueye dan Kylian Mbappe turut menemui sasaran di Parc des Princes, yang merakam kemenangan keempat berturut-turut selepas memulakan kempen Ligue 1 dengan dua kekalahan.

Skuad kendalian Thomas Tuchel kini melonjak ke tangga kedua liga, satu mata di belakang pendahulu Renne yang akan bertemu Reims esok.

"Menjaringkan gol memberikan kami keyakinan. Ia kemenangan yang hebat," kata Tuchel.

Hanya 1,000 orang penonton dibenarkan memasuki Parc des Princes selepas pihak berkuasa memperketatkan peraturan susulan kenaikan kes COVID-19 di ibu kota Perancis itu.

Tuchel kini berharap dapat memperkuat skuadnya sebelum tarikh tutup jendela perpindahan Isnin ini, dengan jadual padat menanti apabila peringkat kumpulan Liga Juara-Juara membuka tirainya bulan ini.

PSG akan memulakan kempen dengan melayan kunjungan Manchester United pada 20 Oktober sebelum berdepan Istanbul Basaksehir dan RB Leipzig, yang ditewaskan pada separuh akhir musim lalu.

"Ia kumpulan yang amat sukar dengan Leipzig sebagai pasukan pilihan ketiga.

"Kami tahu betapa kuatnya mereka. Kami perlu berada di tahap terbaik untuk melepasinya," kata Tuchel. - AFP

Aksi penyerang PSG, Kylan Mbappe (dua dari kanan) ketika berhadapan dengan penjaga gol Angers pada perlawanan awal pagi tadi. - Foto AFP
Aksi penyerang PSG, Kylan Mbappe (dua dari kanan) ketika berhadapan dengan penjaga gol Angers pada perlawanan awal pagi tadi. - Foto AFP

Berita Harian X