Isnin, 28 September 2020 | 9:26pm
Ronaldo melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan Juventus ketika menentang Roma semalam. - FOTO AFP
Ronaldo melonjak tinggi untuk menanduk masuk gol penyamaan Juventus ketika menentang Roma semalam. - FOTO AFP

Tandukan terapung Ronaldo

TURIN: Cristiano Ronaldo mencipta sejarah menjaringkan gol menerusi tandukan menakjubkan yang menyaksikan dia melonjak seperti 'Micheal Jordan ketika zaman kegemilangannya.'

Penyerang Juventus berusia 35 tahun itu sekali lagi meledak gol dengan gaya tersendirinya apabila dia seakan terapung di udara ketika menentang Roma, semalam.

Ronaldo tidak dikawal di dalam kotak penalti pada minit ke-69 ketika Juventus ketinggalan 2-1 pada aksi yang berlangsung di Stadio Olimpico.

Hantaran lintang Danilo menemui Ronaldo yang menyempurnakannya untuk jaringan ke-450 sekali gus menjadi pemain pertama mencatat rekod terbabit.

Bagaimanapun, penyokong lebih kagum dengan kebolehan fizikalnya yang seakan tidak menunjukkan petanda dia perlu bersara daripada kariernya ketika ini.

Menerusi reaksi daripada klip video terbabit, seorang penyokong berkata 'Sudah berusia 35 tahun. Melonjak seperti Jordan pada zaman gemilangnya. Tak masuk akal.'

Seorang lagi berkata 'Ronaldo perlu tampil dengan nama untuk tandukan terapung itu. Dia melakukannya sekali lagi.'

Ada juga yang berkata 'gol yang menakjubkan daripada Cristiano Ronaldo. Micheal Jordan untuk dunia bola sepak dengan lonjakan dan tandukan yang penuh fenomena.'

Seorang penyokong lain berkata 'tandukan tergantung oleh Cristiano Ronaldo sekali lagi menjadi identiti untuk legenda.'

"Dengan terapung di udara seperti itu dan masih mampu memberi tandukan yang tepat dan bertenaga, ia memang mengagumkan.' tulis seorang peminat lagi. -Agensi

Berita Harian X