Khamis, 24 September 2020 | 12:03am
BURUNG kakak tua `menyerang' pemain pasukan wanita Brazil ketika sesi latihan di Rio de Janeiro. Foto ihsan Then Sun.
BURUNG kakak tua `menyerang' pemain pasukan wanita Brazil ketika sesi latihan di Rio de Janeiro. Foto ihsan Then Sun.

Burung kakak tua 'serang' skuad bolasepak Brazil

RIO DE JANEIRO: Kejadian lucu berlaku apabila burung kakak tua eksotik 'menyerang' padang latihan sekali gus menimbulkan kekecohan ketika sesi latihan pasukan wanita Brazil.

Pasukan Brazil yang sememangnya satu nama besar dalam bola sepak wanita mengharungi perlawanan latihan di Teresopolis berhampiran bandaraya ini pada Sabtu lalu.

Namun perlawanan terpaksa dihentikan seketika apabila seekor burung kakak terbang terbang ke arah padang dan' mendarat' di atas kepala pertahanan, Bruna Benites.

Jurulatih kemudiannya meluru ke padang dan cuba menarik perhatian burung berwarna biru dan kuning itu menggunakan bola sepak.

Burung eksotik itu kemudiannya terbang semula dan hinggap di palang gol sebelum menghilangkan diri.

Bruna kemudiannya memuatnaik video itu di laman Instagramnya sambil menyamakan insiden itu dengan kemusnahan hutan hujan di negaranya.

"Saya ingin mengambil kesempatan untuk meluahkan kesedihan terhadap apa yang berlaku dengan hutan hujan di negara ini.

"Ribuan haiwan menderita kerana kebakaran yang berlaku. Jika ia terus berlaku, mustahil untuk kita menyaksikan insiden yang dapat dirakam di video ini pada masa akan datang.

"Kita mesti peka dan melindungi alam sekitar, warisan terbesar kita."

Sebelum ini bukan setakat burung kakak tua namun banyak haiwan didapati 'mengganggu' perlawanan antaranya, alpaca ketika aksi Ilkley Town menentang Carlton Athletic di West Yorkshire, minggu lalu.

Antara haiwan lain termasuklah anjing, kucing, tupai, ayam, burung hantu dan juga 'pine marten.'

- AGENSI

Berita Harian X